Showing posts with label Ulama Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Ulama Terengganu. Show all posts

Sunday, June 5, 2011

Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis)


Syeikh Abdul Malik atau lebih dikenali Tok Pulau Manis dilahirkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060an/1650an, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama diperingkat awal dari kaum keluarganya sendiri.

Syeikh Abdul Malik kemudiannya belajar di Aceh yang digelar “Serambi Mekah. Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050/1620-1693) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah sekitar tahun 1680, ketika beliau dipercayai berumur 30 tahun.

Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011/1616-1690), yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari Terengganu, Fakeh Abdul Kadir Palimbang, Fakeh Abdul Rahman Patani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian. Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Syeikh Abdul Malik telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Fikah, Usuluddin dan Tasawuf disamping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti nahu, saraf dan sebagainya.

Beliau mendalami Fikah al-Shafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Shafie di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahl-al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf.

Syeikh Abdul Malik memilih Tarekat Shadhiliyah yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Shadili (M. 656/1258) yang berasal dari Maghribi. Beliau berkenalan dengan tarekat ini menerusi pengajiannya iaitu melalui karangan pendukung utama dari kalangan generasi ketiga aliran sufi iaitu Ibnu ‘Athaillah (M. 709/1309). Tulisan yang menarik minatnya itu ialah Al-Hikam disamping al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, Lata’if al Minan dan Taj al-Arus.

Pengajaran al-Shadhili dan Ibnu ‘Athaillah dianggap lanjutan dari pendekatan Tasawuf al-Imam al-Ghazali dan kitab Ihya ‘Ulumuddin menjadi kitab penting bagi pengajaran bagi Imam Abu al-Hassan al-Shadhili dan pendokong-pendokongnya. Sebagai seorang yang kesedaran tentang peri pentingnya mendalami ilmu Syariat disamping Usuluddin sebagai asas mendalami ilmu Tasawuf, Syeikh Abdul Malik sendiri, sebelum pemergiannya ke Tanah Suci sudah pun mendalami beberapa bidang ilmu tersebut.

Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, diantara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Shadhili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Gahzali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, iBn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, alRi’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh al-Harith al Mushasibi, Sharh terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma’a Allah oleh Ahmad al-Rifa’i.

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Syeikh Abdul Samad Palimbang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib bi Abdul Latif Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu Ata’ul-Lah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam melayunya :

(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikina itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah au memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia……?.

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal-Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1960an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan, yang diperkukuhkan oleh Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam kontek perkembangan sosial semasa. Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis baginda juga telah turut sama berpindah dan menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu.

Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fekah.

Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun iaitu pada tahun 1149H bersamaan 1736 sebagaimana yang terakam pada makamnya.

Thursday, April 14, 2011

Tok Syeikh Duyong


Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin bin Ya’qub al-Fathani. Lahir di Cabang Tiga, Patani, tahun 1216 H/1802 M, Allahyarham wafat pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir 1306 H/24 Februari 1889 M.

Nama ayahnya ialah Syeikh Wan Muhammad Amin al-Fathani yang digelar dengan ‘Tok Syeikh Qadhi al-Fathani’. Beliau pula ialah anak Wan Ya’qub al-Fathani. Hanya sampai kepada Wan Ya’qub saja nasab dari sebelah ayahnya dapat dikesan. Ibu Tok Syeikh Qadhi (Syeikh Wan Muhammad Amin) bernama Wan Salamah binti Tok Wan Deraud bin Cik Wan Derahim yang kahwin dengan Tok Wan Nik. Ibu Tok Wan Nik ini bernama Wan Dewi binti Tok Kaya Rakna Diraja bin Syeikh Faqih Ali al-Malabari.

Ibu Tok Syeikh Duyung (Syeikh Wan Abdullah) bernama Wan Aminah binti Tok Wan Drahmad bin Tok Wan Derahman bin Tok Kaya Pandak. Tok Kaya Pandak ini nama sebenarnya ialah Wan Ismail bin Nakhoda Wan Kang daripada perkahwinan dengan puteri Laksamana Johor.

Nakhoda Wan Kang yang dimaksudkan di sini adalah nama gelar pada Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ada riwayat menyebut bahawa beliau ini adalah seorang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah ke Malabar (India) dan selanjutnya berhijrah ke dunia Melayu.

Berkahwin

Riwayat yang lain menyebut bahawa beliau berasal dari negeri Bugis. Syeikh Faqih Ali al-Malabari atau Nik Ali atau Saiyid Ali pertama sampai di Johor telah berkahwin dengan puteri Johor bernama Wan Tijah. Mastautin atau tempat tinggal terakhir Syeikh Faqih Ali al-Malabari ialah di Patani.

Keturunan beliau selain menjadi ulama seumpama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Tok Syeikh Bukit Bayas dan lain-lain, termasuk juga tokoh-tokoh kerajaan seumpama Long Yunus Kelantan.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani (Syeikh Wan Muhammad Amin) adalah seorang ulama yang seangkatan dan sahabat dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) ketiga-tiganya adalah ulama besar. Oleh itu Wan Abdullah mendapat pendidikan daripada Tok Syeikh Qadhi al-Fathani, iaitu ayahnya sendiri yang ketika itu tinggal di Kampung Paya Bunga.

Pada masa yang sama Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin bersahabat dengan Saiyid Muhammad Zainal Abidin (Tukku Tuan Besar) dan selanjutnya belajar dengan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang pada ketika itu tinggal di Bukit Bayas.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani dan Tok Syeikh Bukit Bayas kedua-duanya mendapat kedudukan yang tinggi pada zaman pemerintahan Sultan Omar Terengganu, bahkan kedua-duanya termasuk guru baginda.

Selanjutnya pelajaran dilanjutkan di Mekah kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam masa yang sama sekurang-kurangnya ada tiga orang yang berasal dari Terengganu yang belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu.

Ketiga-tiga mereka kemudian menjadi ulama besar yang terkenal. Mereka ialah Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin, Saiyid Muhammad Zainal Abidin dan Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu.

Ulama nama yang terakhir ini diriwayatkan berasal dari Kemaman, Terengganu. Beliau merupakan tokoh besar yang menulis salinan karya-karya ulama dunia Melayu. Jumlah manuskrip salinannya seimbang dengan salinan Tok Kelaba yang datang kemudian daripada beliau. Hingga kini belum dijumpai ulama dunia Melayu yang menyalin manuskrip Melayu lebih banyak daripada kedua-duanya.

Setelah pulang dari Mekah pada tahun 1263 H/1846 M, Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin mengambil tempat kedudukan dan pusat aktivitinya di Pulau Duyung Kecil Terengganu. Selain mengajar di Pulau Duyung Kecil, beliau juga mengajar di beberapa tempat di antaranya Paloh, Losong dan Bukit Bayas.

Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyung) seperti ulama-ulama Patani lain tetap mengajar dua jenis kitab, iaitu yang berbahasa Melayu dan berbahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Melayu yang diajarkan diutamakan karangan gurunya, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kitab-kitab bahasa Arab yang diajarkan adalah karangan ulama-ulama yang terkenal dalam pelbagai disiplin ilmu. Yang paling diutamakan dalam tasawuf ialah Ihya’ ‘Ulumid Din oleh Imam al-Ghazali

Murid Tok Syeikh Duyung sangat ramai, termasuk yang datang dari luar Terengganu. Ada yang datang dari Patani, seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Brunei, Kalimantan dan lain-lain.

Di antara murid Tok Syeikh Duyung yang menjadi ulama besar lagi terkenal ialah Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, Tukku Paloh dan Haji Wan Muhammad (anak beliau sendiri) yang pernah menjadi Mufti Terengganu setelah Tok Syeikh Duyung wafat. Di kalangan Sultan Terengganu yang pernah menjadi murid Tok Syeikh Duyung ialah Sultan Omar dan Sultan Zainal Abidin III.

Baginda Sultan Omar telah melantik Syeikh Muhammad Amin al-Fathani (Tok Syeikh Qadhi) menjadi seorang pembesar negeri. Pada masa pemerintahan Sultan Terengganu itu anak Tok Syeikh Qadhi yang bernama Haji Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) telah dilantik menjadi kadi, sekali gus menjadi penasihat kepada Baginda Sultan Omar.

Pada waktu yang sama gurunya Tok Syeikh Bukit Bayas menjadi mufti. Selanjutnya setelah gurunya itu wafat, Tok Syeikh Duyung dilantik menjadi Mufti Terengganu mulai tahun 1269 H/1853 M hingga beliau wafat pada tahun 1306 H/1889 M.

Sewaktu berlaku Pemberontakan Besut pada 1874, Sultan Omar telah menugaskan Tok Syeikh Duyung ke Kelantan dengan tujuan supaya Sultan Kelantan menghentikan bantuan kepada pemberontakan itu.

Tok Syeikh Duyung bersama-sama anak beliau Haji Wan Muhammad Wan Abdul Qadir dan angkatan kebesaran yang membawa perutusan berangkat ke Kelantan dengan menaiki gajah. Menurut riwayat, perundingan antara Tok Syeikh Duyung dengan Sultan Kelantan mendatangkan hasil yang memuaskan.

Daripada riwayat itu, dapat disimpulkan bagaimana bijaknya seorang ulama menangani sesuatu isu yang besar sehingga seseorang sultan dapat menerima buah fikirannya seterusnya peperangan terhenti dan perdamaian diperoleh.

Riwayat itu pula adalah bukti iaitu Sultan Terengganu mahupun Sultan Kelantan ketika itu terpaksa akur dan patuh atas besarnya kewibawaan seorang ulama yang bergelar Tok Syeikh Duyung. Riwayat ini pula adalah sebagai bukti karamah Tok Syeikh Duyung. Menurut cerita, sesiapa sahaja yang berjumpa dengan beliau, sama ada disengaja ataupun tidak, akan terpahat pada hati memandang beliau sebagai seorang yang sangat hebat.

Tok Syeikh Duyung selain berwibawa dan dihormati oleh Sultan Omar (Sultan Terengganu) dan Sultan Kelantan, beliau sangat berkesan pada hati seorang muridnya yang menjadi Sultan Terengganu berikutnya, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Tok Syeikh Duyung pula sangat kasih kepada muridnya itu sama ada sebelum menjadi sultan mahupun sesudahnya.

Tambatan kasih sayang daripada guru kepada murid atau sebaliknya daripada murid kepada guru dalam istilah tasawuf dinamakan dengan ‘rabithah’. Rabithah yang dimaksudkan telah berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. terhadap para sahabatnya dan sebaliknya.

Sembahyang hajat

Maksud perkataan Saidina Abu Bakar as-Siddiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.: “Aku kasih dalam dunia tiga perkara, duduk bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w., membelanjakan hartaku untuk Nabi Muhammad s.a.w. dan mengucapkan selawat atas Nabi Muhammad s.a.w.”

Oleh itu sewaktu pertabalan Sultan Zainal Abidin III menjadi Sultan Terengganu pada 18 Disember 1881, Tok Syeikh Duyung telah melakukan sembahyang hajat dengan doa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan Sultan Zainal Abidin III, semua rakyat dan kerajaan yang di bawah pemerintahan baginda.

Sesuatu pemerintahan Islam akan selamat apabila penguasa tertingginya dapat bekerjasama dengan ulama. Ulama yang membawa selamat dan berkat ialah ulama yang dapat memberi nasihat kepada pemerintah, berani berkata benar walaupun terhadap penguasa yang zalim.

Sesuatu pemerintahan Islam dan rakyat akan binasa apabila para ulamanya tidak berani memberi nasihat yang benar kepada pemerintah. Sesuatu pemerintahan Islam akan lebih binasa apabila pemerintahnya memusuhi ulama yang berani berkata benar seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.


Saturday, April 2, 2011

Syed Abdul Rahman (Tokku Paloh)

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiuwNhkdF9UGIzn72GFcf1OrMPRNkCc2lB7B55s3rPVET5HBxy25YIvAxiuvJXEjmWkmDTPIoeSkXefwKcX8G09SiKGeMTq0yW48gwYgvSNaBIMvd4YCwdKTt5Ix7nWhzdhpGego5KjCA/s320/tokku+paloh.jpg
                                    
PROFIL
@ Nama sebenar   = Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus.
@ Pangkat            = Qutubul Ghaus (tiap 100 tahun seorang)
@ Asal                 = Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu.
@ Tahun lahir       = 1817
@ Tahun wafat     = 1917 (usia 100 tahun)
@ Sumbangan      = Ulama besar Terengganu pada abad ke-19.

     Penasihat utama Sultan Zainal Abidin III semarakkan semangat jihad Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau tentang penjajah British di Pahang. ULAMA Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah. Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.

Makam Tokku Paloh (Pagar Hijau)

     Baginda menyebut, “Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu,” yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan. Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka. “Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah,” demikianlah jawapan ulama besar itu. Mendengar jawapan sindiran ulama itu, British berasa sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun daripada kerusi yang diduduki. Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka.

Di Dalam Makam


     Lalu Tokku Paloh menyindir, “Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?” sekali gus menyebabkan British beredar dengan perasaan malu. Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang mereka yang besar. Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang. Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik. Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku Paloh. Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan pihak British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.

Masjid Tokku Paloh, Losong.

     Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang. Keadaan itu menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup. Demikianlah antara beberapa kisah Tokku Paloh, seorang ulama besar yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di Terengganu. Selain menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III dan Haji Abdul Rahman Limbong iaitu pejuang penentang penjajah di Terengganu, ulama itu turut bertanggungjawab menyemarakkan semangat jihad di kalangan pejuang menentang penjajah di Pahang iaitu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau. Peristiwa itu berlaku apabila pasukan pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri selepas mengalami tekanan dan serangan berterusan daripada tentera penjajah pimpinan Residen British, Hugh Clifford.

Masjid Tokku

     Keadaan tersepit itu menyebabkan mereka berlindung di hutan Terengganu dan menghubungi Tokku Paloh pada Mei 1894. Sebaik bertemu dengan ulama itu, mereka diberi perlindungan dan diajar ilmu untuk menentang musuh. Hasil perguruan singkat dengan ulama itu menyebabkan semangat kumpulan pejuang terbabit kembali membara dan mereka terus tekad melancarkan jihad menentang penjajah British di Pahang.

Makam Tokku  Terletak Di Bukit Losong

Walaupun dikenali sebagai ulama, Tokku Paloh turut membabitkan diri dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu selain penasihat utama Sultan dalam pelbagai hal. Malah, ketegasan dan kepintarannya dalam hal ehwal diplomatik menyebabkan ulama itu sering diberi peluang mewakili Sultan untuk berunding dengan British hingga penjajah itu gagal menawan Terengganu.

     Tokku Paloh dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ulama itu mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri iaitu Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali Tokku Tuan Besar, selain beberapa ulama tempatan sebelum berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan menimba pengalaman. Sekembalinya dari Makkah selepas kira-kira 10 tahun menuntut ilmu di sana, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Terengganu sebelum membabitkan diri dalam bidang pentadbiran negeri.

Tokku Paloh memiliki banyak ilmu dalam bidang kerohanian terutama ilmu tasawauf dan sufi. Beliau juga menjadi khalifah kepada Tareqat Naqsyabandiah dan turut mengamal serta mengembangkan amalan Syahadat Tokku iaitu satu amalan yang disusun oleh bapanya. Kepercayaan Sultan Terengganu terhadap dirinya menyebabkan Tokku Paloh diamanahkan Sultan Zainal Abidin III untuk mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

     Dalam usaha memastikan kawasan pentadbirannya terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang, Tokku Paloh menubuhkan pasukan penguat kuasanya sendiri yang dikenali sebagai Budak Raja. Pasukan Budak Raja ditugaskan menjaga keamanan sama seperti fungsi pasukan polis pada hari ini. Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat terjaga, Tokku Paloh gemar keluar pada malam hari malah pada hari tertentu, beliau keluar dengan mengenakan kain selubung di kepala. Tindakannya itu bertujuan membolehkan beliau meninjau kehidupan masyarakat dan sekiranya beliau mendapati ada perkara tidak baik berlaku, Tokku Paloh akan memerintah Budak Raja membuat tangkapan pada keesokan hari. Ulama itu juga memiliki mahkamah sendiri di Paloh untuk mengadili pesalah di kawasan pentadbirannya.

Usaha beliau itu mendapat perkenan daripada pihak istana. Hubungan rapat antara Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin menyebabkan baginda menyerahkan puteranya iaitu Tengku Sulaiman untuk dijadikan anak angkat dan murid Tokku Paloh. Malah, seorang daripada isteri Tukku Paloh iaitu Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin III sendiri.Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.

Ba' Yor (Cicit Tok Limbong)

(Ba' Yor. Sumber:: Majalah Khazanah Hikmah)

Nama penuh beliau adalah Muhamad Ghazali Bin Abdullah. Dikenali sebagai Ba' Yor, merupakan cicit kepada Tok Limbong. Lahir pada 30 Mac 1953. Beliau merupakan anak sulung daripada 7 beradik hasil perkahwinan Che Lah dengan ibu beliau Mek @ Maznah Binti Abdul Rahman.

Beliau berkahwin dengan Che Wan Sabariah Binti Che Wan Long dan dikurniakan 9 orang anak, 3 orang lelaki dan 6 orang perempuan. Beliau merupakan Imam Burdah Terengganu pada masa kini. Anak-anak beliau adalah Nurul Fatihah, Nurul Farhana, Muzahara Al-Ahmadi, Maisarah, Muhamad Zhafir, Fatimah Zakirah (meninggal dunia pada umur 7 bulan), Abdullah Dahlawi dan Fatimah Mardhiah.

Selain memimpin Burdah di Pulau Bahagia pada pagi Jumaat dan Ratib Haddad malam sebelumnya di surau ayah beliau di Pulau Musang, beliau juga mewarisi ilmu perubatan dan membuat ubatan tradisional, mengesan penyakit melalui nadi dan ilmu persilatan yang diwarisi dari ayah beliau.

Haji Abdul Rahman Limbong ( Tok Limbong )

كيساه هيدوڤ حاج عبدالرحمن ليمبوڠ اتاو توق ليمبوڠ
KISAH HIDUP HAJI ABDUL RAHMAN LIMBONG / TOK LIMBONG


Makam Pahlawan di Perkarangan Masjid Kuala Telemong
Nama lengkap beliau ialah Haji Abdul Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Kadir. Dilahirkan di Kampung Jenguk Tong, Beladau Kolam, Kuala Terengganu pada tahun 1285H atau 1868M dan meninggal dunia di Mekah, pada tahun 1347H atau 1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.

Haji Abdul Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun beliau merupakan seorang sufi, namun beliau tahu selok-belok hal keduniaan. Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman pihak British.

Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang bersandarkan kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga, beliau pandai bermain senjata. Hidup ini tiada sesuatupun yang ditakutinya melainkan kemurkaan Allah SWT kerana melanggar peruntah Allah dan Rasul-Nya.

Haji Abdul Rahman mendapat pendidikan asas di Mekah semasa kecil. Ketika pulang ke Terengganu, beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa yang tinggal di Paya Bunga. Oleh itu, Haji Abdul Rahman Limbong menjadi tokoh perjuangan Terengganu beserta tokoh ulama Terengganu.

Beliau sering berulang-alik antara Kuala Telemong, Beladau Kolam, Pulau Bahagia, Chukai dan Limbong di Terengganu dengan Balok dan Chenor di Pahang. Beliau juga sering mengembara di Alam Melayu. Antaranya, Kelantan, Patani, Kedah, Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut ini terdapat murid-murid Haji Abdul Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau amat panjang tetapi dapatlah disimpulkan tentang pelayaran beliau ke Sambas dan Kepulauan Riau sahaja. Dalam perlayaran di laut, beliau menggunakan kapal buatan Terengganu yang lebih dikenali sebagai Perahu Besar. Perahu-perahu tersebut boleh menampung kapasiti antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti adalah Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun di Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang Terengganu dan kekal hingga sekarang. Dicatatkan bahawa pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai yang bahan utamanya adalah kayu cengal yang dibawa dari Terengganu. Bahan-bahan siap dibina dan hanya dipasang sahaja di Pulau Midai. Namun, pada tahun 1969, masjid tersebut diruntuhkan diganti dengan binaan baru. Yang tinggal, hanyalah mimbar yang juga berasal dari Terengganu.

Haji Abdul Rahman Limbong pernah singgah di semua pulau yang disebutkan termasuklah Pulau Tujuh di Pulau Midai. Sepanjang tahun 1920 hingga 1928 terjadi gerakan Haji Abdul Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang British. British dengan liciknya mendakwa Haji Abdul Rahman Limbong menderhaka. Akhirnya, Haji Abdul Rahman Limbong ditangkap dan dibuang negeri ke Singapura dan seterusnya dibuang ke Mekah. Setahun kemudian (1929M) beliau meninggal dunia.

Semasa Pemberontakan Tani, Haji Abdul Rahman Limbong dan penduduk setempat di Hulu Terengganu berasa marah akibat campur tangan British dalam hal ehwal negeri terutamanya peraturan cukai kerana membuka tanah yang dianggap beban dan bertentangan dengan falsafah penduduk bahawa tanah adalah hak milik Allah SWT dan bukannya milik pemerintah British.

Semasa peristiwa Padang Kachong, 12 orang kampung gugur dalam memperjuangkan hak bangsa dan agama. Tok Limbong disabitkan bersubahat menderhaka dan dibuang negeri.

Padang Kachung, Kuala Telemong. Tempat Pertempuran Tentera British dan Penduduk Kampung

Che Leh Keramat (Anak Tok Limbong)

(Che Leh Keramat. Sumber:: Majalah Khazanah Hikmah)

Nama penuh Che Leh Keramat adalah Mohd Salleh Bin Haji Abdul Rahman. Tarikh kelahiran beliau tidak diketahui, namun beliau meninggal dunia pada tahun 1962 dalam usia 72 tahun. Beliau merupakan anak kepada Tok Limbong (Haji Abdul Rahman Limbong) dan merupakan pengasas tapak Burdoh (iaitu amalan syair memuji Rasulullah SAW) di Kampung Pulau Bahagia.

Beliau juga memimpin Tareqat Naqsyabandi yang diambil bai'ah dari Tok Ku Paloh. Yang menerima amalan ini bersama dengan Che Leh Keramat adalah seramai 7 orang, 5 daripadanya dari Pahang, 1 dari Kedah dan 1 dari Terengganu. Beliau seorang yang gemar berkhalwat, malah sebuah bangsal didirikan di tepi rumahnya bagi memudahkan beliau berkhalwat

Beliau pernah dituduh membawa ilmu salah, akibatnya pihak polis merampas barang-barangnya. Namun beliau sedikitpun tidak gentar malah menganggap bahawa tindakan itu seperti 'anjing menyalak gajah', yang tidak memberi kesan kepada diri beliau.

Antara kelebihan beliau adalah, beliau mengetahui beberapa perkara yang belum berlaku, contohnya pembinaan Jambatan Manir. Pernah Che Leh Keramat mengajak orang naik teksi semata-mata untuk menunjukkan satu tempat yang akan dibuat jalan dan ramai orang akan lalu lalang di situ. Che Leh Keramat menunjukkan dengan hujung tongkat beliau ke satu arah, dan akhirnya di situlah letaknya Jambatan Manir kini.

Asalnya pihak Jepun mahu membina jambatan di Pulau Musang, dimana semua kerja ukur tanah telah dilaksanakan namun akhirnya lokasi jambatan dipinda kerana tapak asalnya mempunyai terlalu banyak batu-batan. Setelah beberapa pindaan, akhirnya jambatan berkenaan dibina di Manir, di tempat yang ditunjukkan oleh Che Leh Keramat.

Che Leh Keramat juga pernah masuk ke hutan dengan sahabat beliau yang bernama Tok Pandak. Tok Pandak diberitahu bahawa suatu masa nanti, ramai orang akan melalui kawasan berkenaan. Tok Pandak hairan kerana tempat yang ditunjukkan oleh Che Leh Keramat hanya dipenuhi hutan tebal, diibaratkan seperti jalan kera sahaja. 30 tahun kemudian, Empangan Kenyir dibina, dan lokasinya sama dengan tempat yang ditunjukkan oleh Che Leh Keramat.

Template by:
Free Blog Templates