Saturday, April 2, 2011

Che Leh Keramat (Anak Tok Limbong)

(Che Leh Keramat. Sumber:: Majalah Khazanah Hikmah)

Nama penuh Che Leh Keramat adalah Mohd Salleh Bin Haji Abdul Rahman. Tarikh kelahiran beliau tidak diketahui, namun beliau meninggal dunia pada tahun 1962 dalam usia 72 tahun. Beliau merupakan anak kepada Tok Limbong (Haji Abdul Rahman Limbong) dan merupakan pengasas tapak Burdoh (iaitu amalan syair memuji Rasulullah SAW) di Kampung Pulau Bahagia.

Beliau juga memimpin Tareqat Naqsyabandi yang diambil bai'ah dari Tok Ku Paloh. Yang menerima amalan ini bersama dengan Che Leh Keramat adalah seramai 7 orang, 5 daripadanya dari Pahang, 1 dari Kedah dan 1 dari Terengganu. Beliau seorang yang gemar berkhalwat, malah sebuah bangsal didirikan di tepi rumahnya bagi memudahkan beliau berkhalwat

Beliau pernah dituduh membawa ilmu salah, akibatnya pihak polis merampas barang-barangnya. Namun beliau sedikitpun tidak gentar malah menganggap bahawa tindakan itu seperti 'anjing menyalak gajah', yang tidak memberi kesan kepada diri beliau.

Antara kelebihan beliau adalah, beliau mengetahui beberapa perkara yang belum berlaku, contohnya pembinaan Jambatan Manir. Pernah Che Leh Keramat mengajak orang naik teksi semata-mata untuk menunjukkan satu tempat yang akan dibuat jalan dan ramai orang akan lalu lalang di situ. Che Leh Keramat menunjukkan dengan hujung tongkat beliau ke satu arah, dan akhirnya di situlah letaknya Jambatan Manir kini.

Asalnya pihak Jepun mahu membina jambatan di Pulau Musang, dimana semua kerja ukur tanah telah dilaksanakan namun akhirnya lokasi jambatan dipinda kerana tapak asalnya mempunyai terlalu banyak batu-batan. Setelah beberapa pindaan, akhirnya jambatan berkenaan dibina di Manir, di tempat yang ditunjukkan oleh Che Leh Keramat.

Che Leh Keramat juga pernah masuk ke hutan dengan sahabat beliau yang bernama Tok Pandak. Tok Pandak diberitahu bahawa suatu masa nanti, ramai orang akan melalui kawasan berkenaan. Tok Pandak hairan kerana tempat yang ditunjukkan oleh Che Leh Keramat hanya dipenuhi hutan tebal, diibaratkan seperti jalan kera sahaja. 30 tahun kemudian, Empangan Kenyir dibina, dan lokasinya sama dengan tempat yang ditunjukkan oleh Che Leh Keramat.

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates