Showing posts with label Tariqah Ahmadiyah. Show all posts
Showing posts with label Tariqah Ahmadiyah. Show all posts

Saturday, July 16, 2011

SYEIKH WAN ALI KUTAN

Syeikh Wan Ali Kutan - Guru para ulama Melayu
RIWAYAT ini masih dalam rangkaian ulama yang mempunyai hubungan dengan pengajian pondok di Sungai Dua, Seberang Perai, Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani yang dipercayai adalah saudara sepupu ulama yang dibicarakan ini. Nasab ke atas sampai kepada nama Wan Abdul Ghafur yang dianggap sahih kerana tercantum dalam salah sebuah karangan Syeikh Wan Ali al-Kalantani. Penyelidikan penulis yang terkini mendapati bahawa ada orang meriwayatkan ayah Wan Abdul Ghafur itu bernama Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Izzuddin. Syeikh Izzuddin ini mempunyai dua nama, yang satu lagi ialah Syeikh Wan Taqiyuddin. Tentang ini masih belum dipandang sahih.

Keluarga Besar

Sebagaimana Syeikh Jalaluddin al-Kalantani mempunyai hubungan keturunan yang luas, demikian pula halnya Syeikh Wan Ali al-Kalantani, kerana Syeikh Wan Ali al-Kalantani mempunyai beberapa orang adik beradik. Mereka ialah: 1. Haji Wan Seman, 2. Wan Bulat, 3. Wan Hawa, 4. Wan Kaltsum, 5. Wan Siti Hajar, dan yang bungsu ialah Syeikh Wan Ali. Haji Wan Seman bin Wan Abdur Rahman mendapat tiga orang anak, iaitu Nik Sah, Wan Timun dan Nik Wan Zainab. Melalui anaknya Wan Timun, anak perempuan Wan Timun bernama Wan Embong, anak perempuan Wan Embong bernama Nik Wan Zainab kahwin dengan Tengku Hamzah Tengku Setia Maharaja, anaknya bernama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Wan Hawa binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan Wan Muhammad bin Wan Musa, memperoleh 4 orang anak. Salah seorang di antaranya Wan Salamah yang berkahwin dengan Wan Ya'qub bin Wan Sulaiman, memperoleh anak bernama Wan Kaltsum yang kahwin dengan Wan Ahmad Hakim bin Ibrahim (Hakim di Besut, Terengganu), keturunannya di Terengganu. Di antara anaknya ialah Wan Muhammad Ali, ayah kepada Haji Wan Abdur Rahim Kamil, salah seorang tokoh perbankan Islam.

Wan Kaltsum binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan ulama bernama Haji Abdus Shamad Kutan, yang kemudian dikenali dengan gelar Tuan Tabal. Beliau adalah guru kepada Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaitu Dato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Mengenai Tuan Tabal yang bererti saudara ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan diperoleh maklumat daripada keluarga ini di Terengganu, secara terperinci akan diceritakan pada siri-siri berikut dalam judul yang tersendiri.

Wan Siti Hajar binti Wan Abdur Rahman mempunyai anak iaitu Haji Muhammad Sa'id. Beliau berhijrah ke Langkat, belajar dan berkhidmat kepada Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah yang terkenal, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam perintis tarikat Nakshabandi di Langkat. Akhirnya Haji Muhammad Sa'id menjadi murid kesayangan dan orang kanan ulama yang terkenal itu. Haji Muhammad Sa'id memperoleh enam orang anak, di antaranya ialah Khalifah Haji Abdul Hamid. Anak beliau ialah Haji Muhammad Saleh Hamid, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Kabupaten Langkat dan Drs. Haji Usman Hamid, bekas dosen/pensyarah FPOK, IKIP, Medan, Sumatera Utara.

Kelahiran

Sheikh Wan Ali bin Wan Abdur Rahman merupakan saudara bongsu enam beradik yang diriwayatkan ini, oleh itu dalam surat menyurat Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama Kelantan tersebut dengan panggilan 'Pak Cu Wan Ali'. Syeikh Wan Ali adalah ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani.

Syeikh Wan Ali lahir dekat Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi, tarikh inilah yang diikuti oleh kebanyakan penulis. Penulis sendiri tetap mempertikaikan tahun yang disebutkan itu, jika ditulis tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi, barangkali lebih mendekati kebenaran. Hujah-hujah penulis adalah bahawa di kalangan keluarga telah popular cerita tentang Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani adalah sebaya umurnya dengan Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani.

Selain itu, antara beliau terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (adik Syeikh Muhammad Zain al-Fathani). Adapun hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah berbirasan, kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani dan isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi dan ibunya lahir pada tahun 1241 Hijrah/1825 Masihi. Sedangkan dalam riwayat bahawa Wan Cik al-Fathani itu walaupun menjadi kakak ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan, namun Syeikh Wan Ali Kutan lebih tua daripada Wan Cik. Wan Aisyah adik Wan Cik pula dilahirkan pada tahun 1243 Hijrah/1827 Masihi, sedangakn Wan Ali Kutan adalah lebih tua daripada isterinya itu.

Dengan fakta-fakta tersebut di atas, penentuan tarikh lahir Syeikh Wan Ali Kutan adalah pada tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi (yang bererti lebih muda sekitar sepuluh tahun daripada isterinya) itu adalah suatu kekeliruan. Diharapkan kepada para pengkaji sejarah dapat meneliti kembali tahun-tahun yang tersebut itu, mudah-mudahan sejarah yang tepat dapat menjadi pegangan yang tidak menjadi keraguan lagi.

Pendidikan

Pendidikan ketika di Kelantan tidak jelas, yang dapat dikaji dimulai dari umur 12 tahun, kerana ketika usia itulah beliau dibawa ke Mekah untuk belajar di sana. Pendidikan di Mekah itu merupakan penentuan bahawa Syeikh Wan Ali al-Kalantani dapat dikategorikan sebagai ulama besar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan keIslaman. Di antara gurunya di Mekah dapat dicatat ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi. Kedua-dua ulama ini sangat terkenal.

Selain itu, Syeikh Wan Ali al-Kalantani belajar pula kepada Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan, Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong seorang ulama sufi yang sangat berwibawa Kelantan dan lain-lain. Di Madinah Syeikh Wan Ali belajar kepada Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani, terutama sekali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli.

Dalam karangannya Lum'atul Aurad, Syeikh Wan Ali al-Kalantani menyebut bahawa beliau menerima ijazah Hizbul Bahri daripada Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan juga daripada Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan. Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili r.h. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w.

Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga belajar berbagai-bagai ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk beliau menerima Thariqat Syathariyah kepada ulama Patani itu. Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga termasuk pengamal Thariqat Ahmadiyah yang dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris. Dipercayai Syeikh Wan Ali al-Kalantani telah menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah itu daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman, Kutan al-Kalantani meninggalkan beberapa karangan, yang senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:

1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadits. Matan Lubabil Hadits adalah karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertamanya ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap.

2. Zahratul Murid fi 'Aqaidit Tauhid, 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertama, juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 Hijrah terdapat keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdapat beberapa edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.

3. Lum'atul Aurad, 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah, cetakan kedua 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1346 Hijrah. Dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini. Lum'atul Aurad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu, bagi pengamal-pengamalnya selalu menceritakan akan keberkesanan amalan tertentu yang termaktub dalam kitab itu setelah mereka mengamalkannya secara teratur dan rutin.

4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid, 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.

5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab, masih dalam bentuk manuskrip.

6. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Melayu, masih dalam bentuk manuskrip.

7. Catatan-catatan, masih dalam ben-tuk manuskrip.

TUAN TABAL

( Dua anak Tuan Tabal mengikut jejak ayahnya menjadi ulama, mufti ketiga Kerajaan
Islam Kelantan Haji Wan Musa dan abangnya Haji Wan Muhammad mufti kempat)

Tuan Tabal - Penyebar Tarikat Ahmadiyah pertama di Nusantara

Hubungan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dengan Tuan Tabal yang diriwayatkan sebagai saudara ipar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004/28 Rejab 1425H, masih dirasakan perlu diberi keterangan lanjut. Oleh itu pada terbitan kali ini dipilih judul mengenai ulama yang berasal dari Tabal itu. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Sebelum bergelar Tuan Tabal beliau juga pernah digelar Tuan Kutan.

Oleh sebab semua tulisan yang meriwayatkan Tuan Tabal sebelum ini tidak pernah menyebut bahawa beliau adalah beripar dengan Syeikh Wan Ali Kalantani, maka sebelum meneruskan riwayat ini dirasakan perlu menulis perbandingan di bawah ini. Para penulis Kelantan selama ini menyebut bahawa isteri Tuan Tabal itu bernama Wan Tsum atau Wan Kaltsum anak Tok Semian. Maklumat daripada keluarga ini di Terengganu menyebut bahawa Tok Semian adalah nama gelar kepada Haji Abdur Rahman. Apabila kita teliti maklumat ini, maka salasilah yang diperoleh dari Terengganu ada benarnya, kerana ayah Syeikh Wan Ali Kutan dan Wan Kaltsum, adiknya memang bernama Abdur Rahman. Cuma ayah Abdur Rahman di sini bernama Abdul Ghafur, sedangkan ayah Abdur Rahman pada konteks isteri Tuan Tabal sebelum ini dikatakan bernama Lebai Muda. Kemungkinan Lebai Muda di sini adalah nama gelar juga bagi Abdur Ghafur pada konteks datuk kepada Syeikh Wan Ali Kutan dan saudaranya Wan Kaltsum tersebut. Penulis meyakini maklumat versi Terengganu ini, namun walau bagaimana pun penelitian tetap masih perlu dijalankan tanpa hentinya.

Untuk lebih jelas, saya masukkan keratan dari lain dari tulisan al-marhoum di Bicara Agama dalam tajuk Syeikh Wan Senik Karisiqi moyang Syeikh Daud Al-Fathani [sumber].

Syeikh Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur, ayah pada Syeikh Jalaluddin, adalah adik -beradik dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur adalah orang yang sama dengan Syeikh Wan Abdur Rahman al-Kalantani, yang ketika mudanya tinggal di Lorong Tok Semian Kelantan. Beliau juga digelar dengan Tok Semian. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur berkahwin dengan Hajah Wan Zainab binti Wan Abdul Qadir, anak perempuannya bernama Hajah Wan Kaltsum, menjadi isteri Tuan Tabal al-Kalantani. Hajah Wan Kaltsum adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan, dapat disemak dalam artikel tarikh 27 September 2004 atau dalam koleksi lepas disini.

KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN

Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi, dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menentukan bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi, yang diikuti oleh Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah (DBP, 1990, hlm.72). Disebabkan ada dua pendapat di atas, maka penulis masih ragu dengan kedua-dua tahun yang disebutkan itu. Kedua-dua tahun yang disebutkan penulis-penulis lain tidak menyebutkan tahun Arabiyahnya. Padahal pada zaman itu tidak ada ulama kita mencatatkan tahun kelahiran dan tahun wafat menggunakan tahun Masihi. Pemindahan dari tahun Arabiyah kepada tahun Masihi sering terjadi kekeliruan, sebagai contoh Nik Abdul Aziz dalam buku yang sama tersebut di atas (lihat hlm. 99) menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani lahir tahun 1872, padahal hanya salah menyalinnya sahaja daripada tulisan penulis dalam majalah Dian bil. 49, 1972, yang penulis tulis tahun 1272 Hijrah bukan 1872 Masihi.

Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun. Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut.

Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Oleh sebab ilmu Arabiyah beliau kurang kemas sewaktu di Patani, beliau diperintah oleh gurunya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki memperdalam ilmu-ilmu Arabiyah itu daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri jauh lebih muda daripada Tuan Tabal. Tuan Tabal lebih muda sedikit umurnya daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

"...dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat Ahmadiyah di Kelantan dan sekitarnya.."
Mengenai Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani itu sangat masyhur diceritakan oleh guru-guru pondok. Juga telah dirakamkan berupa tulisan oleh beberapa orang di antaranya Muhammad Uthman El-Muhammady, Hamdan Hassan (dalam buku yang sama di atas) dan lain-lain. Namun demikian tulisan Hamdan Hassan mengenai kepulangan Tuan Tabal dari Mekah sebelum tahun 1860 Masihi (lihat hlm. 74) masih meragukan. Sebab, dalam tahun 1860 Masihi itu Syeikh Ahmad al-Fathani baru berumur 4 tahun, jadi dalam tahun berapakah Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani ? Sebab itu mahu tidak mahu kita terpaksa memilih salah satu daripada dua, iaitu Tuan Tabal benar pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani jauh sesudah tahun 1860 Masihi, atau Tuan Tabal tidak pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ketika beliau turun dari Mekah pada tahun 1860 Masihi, Syeikh al-Fathani masih kanak-kanak.

Penulis tetap masih berpegang kepada cerita yang mutawatir bahawa Tuan Tabal memang pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, namun yang perlu penelitian ialah tahun-tahun yang bersangkutan dengan Tuan Tabal kerana masih banyak yang diragui. Ada pun tahun-tahun yang melibatkan Syeikh Ahmad al-Fathani mulai lahir, aktiviti kepelbagaian dalam kehidupan dan tarikh wafat semuanya cukup jelas kerana dokumen mengenai beliau memang tercatat secara teratur.

Dalam waktu yang sama Tuan Tabal, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris, iaitu daripadanya dinisbahkan Thariqat Ahmadiyah yang tersebut. Oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Mekah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara.

Sampai artikel ini ditulis memang belum diketahui orang lain yang lebih awal menyebarkan thariqat itu di dunia Melayu, bagaimanapun penyebaran yang dilakukan oleh Tuan Tabal tidaklah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Sa'id Negeri Sembilan yang muncul agak terkebelakang sedikit daripada Tuan Tabal.

AKTIVITI

Maklumat mengenai Tuan Tabal, pengamal Thariqat Ahmadiyah yang tersebut dapat disemak daripada surat Raja Kelantan ibnu Sultan Muhammad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani tarikh 14 Ramadan 1323 Hijrah, tertulis,''... orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal ...'' Dipercayai beliau telah mengajar thariqat yang tersebut terutama kepada anak-anak beliau.

Bagaimanapun pengajaran Thariqat Ahmadiyah yang disebarkan oleh Tuan Tabal bukanlah merupakan pengajian asas. Pengajian yang asas dan pemantapan beliau mula mengajarnya di kampung Kutan, Kelantan, selanjutnya pindah ke Terengganu. Di antara muridnya di Terengganu ialah Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaituDato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Selanjutnya beliau mengajar pondok di kampung Tempoyak Tabal. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, pengajaran dan dakwah lebih dipergiatkan lagi. Beliau telah berhasil membangun sebuah surau tempat beribadat dan mendidik umat di Lorong Semian.

PENULISAN

Karya Tuan Tabal yang telah ditemui ialah:

1. Munabbihul Ghafilin, diselesaikan hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumid Din dan Masyariqul Anwar. Naskhah yang dicetak berasal daripada salinan anak beliau, Nik Abdullah pada hari Sabtu, 29 Syaaban 1320 Hijrah.

2. Jalalul Qulub bi Zikrillah, diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan.

3. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam, diselesaikan 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi. Manuskrip kitab ini telah penulis miliki pada 3 Syawal 1411 Hijrah, dihadiahkan oleh salah seorang keturunan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Manan (ulama Kelantan murid Syeikh Ahmad al-Fathani). Manuskrip tersebut tidak lengkap dan merupakan salinan yang dilakukan pada akhir bulan Syawal 1321 Hijrah/1903 Masihi. Selain manuskrip penulis juga memiliki cetakan batu yang diperoleh di Senggora (1991). Tempat dan tarikh cetakan tiada tersebut dalam cetakan huruf batu tersebut.

4. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah, oleh sebab saya tidak dapat merujuk kitab asli, maka tidak dapat memastikan yang mana sebenarnya judul yang betul, apakah seperti yang penulis tulis itu atau yang satu lagi tertulis "... al-Awbah ...'' bukan " ... Auwab ...''. Tertulis Auwab berdasarkan senarai tulisan tangan yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan Tuan Tabal, dalam senarai Nik Abdul Aziz juga sama demikian. Yang menulis al-Awbah ditulis oleh beberapa penulis termasuk Hamdan Hassan (lihat hlm. 238). Daripada senarai Hamdan Hassan diperoleh maklumat bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun).

5. Bab Harap, dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.

6. Bidayatu Ta'limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam, tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu.

7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib, diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi. Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal, 327 halaman menurut ukuran model kitab-kitab Melayu/Jawi.

8. Mun-yatul Muridin fi Ba'dhi Ausafi Saiyidil Mursalin, kitab ini tidak sempat diselesaikan kerana beliau meninggal dunia. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi.

Beberapa orang anak dan keturunan Tuan Tabal yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Wan Muhammad Bin Haji Abdul Samad (1870M-1920M) mufti ketiga kerajaan Islam Kelantan abang kepada Mufti Haji Wan Musa Bin Haji Abdul Samad menjadi mufti ke empat kelantan selepas menggantikan adiknya(1875M-1939M) dan lain-lain akan dibicarakan dalam siri-siri berikutnya. Insyallah

Al-Fatihah.....

Template by:
Free Blog Templates