Monday, June 6, 2011

SYEIKH MUHAMMAD SAID LINGGI R.A



Makam Sheikh Muhammad Said Al-Linggi R.A

Syeikh Muhammad Said Linggi Mursyid Thariqat Ahmadiyah
Nama lengkapnya Syeikh Muhammad Said bin Syeikh Jamaluddin Linggi bin Haji Idris bin Haji Abdul Mukmin Linggi bin Syeikh Muhammad Nakhoda alMinankabawi. Sampai di sini sahaja nasab yang telah disepakati, dan seterusnya yang masih dipertikaikan ialah Muhammad Nakhoda al-Minankabawi bin Ahmad bin Umar bin Shalih bin Abdullah, berasal dari Hadhralmaut, Yaman. Beliau dilahirkan pada tanggal 3 Syaaban 1292 Hijrah/1875 Masihi dan meninggal dunia pada 12 Rabiulawal 1345 Hijrah/18 September 1926 Masihi.

ASAL USUL
Selain nasab ke atas sebelah lelaki yang berasal dari Hadhralmaut, dapat dipecahkan lagi bahawa datuknya, Haji Idris itu berkahwin dengan Hajah Rahimah binti Khatib Musa bin Amaluddin bin Awaluddin. Dalam Kanzul Mu`id tertulis bahawa Awaluddin dimasyhurkan dengan Dato' Awal anak Faqih yang dimasyhurkan dengan Daeng Abdul Malik. Bahawa keturunan ini ada hubungan dengan Daeng Kemboja, yang dimasyhurkan dengan Marhum Janggut Yamtuan Muda Riau. Marhum Janggut pula adalah putera Upu Daeng Perani.

Hajah Rahimah (nenek Syeikh Muhammad Said) tersebut ibunya bernama Zulaikha binti Dato' Karkung berasal dari Minangkabau, termasuk kerabat ulama besar bernama Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi al-Minankabawi, penyusun kitab Kifayatul Ghulam.

Ibunya bernama Hajah Shafiyah binti Haji Muhammad Shalih al-Fathani (meninggal dunia pada 12 Rabiulakhir 1352 Hijrah). Ayah kepada ibunya ini adalah seorang ulama Patani yang mempunyai murid yang ramai. Neneknya (ibu kepada ibunya) bernama Hajah Maryam, beliau adalah keturunan Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani, satu-satunya ulama Melayu yang pernah mengajar di Masjidil Aqsa.

PENDIDIKAN

Ketika mengikuti pengajian sistem pondok di Patani, Muhammad Said berguru kepada ulama terkenal, iaitu Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal), pengarang pelbagai kitab Melayu/Jawi. Guru-gurunya yang lain ialah Tok Nahu, Syeikh Muhammad Nuh Kedah, Tok Semela dan lain-lain. Semua ulama yang tersebut adalah murid pula kepada datuknya, Syeikh Abdur Rasyid.

Sewaktu berusia 17 tahun, beliau berangkat ke Mekah untuk melanjutkan pelajarannya. Guru-gurunya di Mekah yang tersebut dalam Kanzul Mu`id sangat ramai, di antaranya yang berasal dari dunia Melayu ialah: Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, Syeikh Zainuddin as-Sumbawi, Syeikh Wan Ali al-Kalantani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Di Madinah, Muhammad Said pernah belajar kepada Sayid Jaafar al-Barzanji, Mufti Mazhab Syafie di Madinah al-Munawwarah. Beliau pernah pula mengembara memperdalam ilmu ke Mesir. Di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Syamsuddin al-Anbaby, Syeikh al-Azhar pada zaman itu. Juga beliau belajar kepada Syeikh Ahmad ar-Rifa'ie, ulama besar Mazhab Maliki di al-Azhar.

Di dalam bidang yang khusus, beliau menerima Thariqat Ahmadiyah ar-Rasyidiyah ad-Dandarawiyah daripada Sayid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi. Dengan Thariqat Ahmadiyah inilah beliau mencapai kemuncaknya sebagai Syeikh Mursyid Thariqat Ahmadiyah yang terbesar di dunia Melayu. Murid-muridnya dalam bidang Thariqat Ahmadiyah meliputi Cam di Kemboja, Patani, Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak), Singapura dan Brunei Darussalam.

PENYEBARAN THARIQAT AHMADIYAH

Di dalam ulama dunia Melayu terdapat beberapa orang guru Muhammad Said, mereka ialah Syeikh Wan Ali Kutan, Tuan Tabal, Syeikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain juga menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sayid Ibrahim ar-Rasyidi (meninggal dunia 1291 Hijrah/1874 Masihi). Beliau adalah guru pada Sayid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi (meninggal dunia 1327 Hijrah/ 1909 Masihi). Walau bagaimanapun pada peringkat awal Thariqat Ahmadiyah di dunia Melayu tidak berapa jelas perkembangannya.
* Untuk mengetahui sejarah perkembangan dan biografi al-Imam as-Saiyid Ahmad ibn Idris boleh mengunjungi website yang ana baru jumpa di Warisan Syeikh Ahmad Idris r.a, click right and open link in new windows here

Dengan kegigihan Muhammad Said, Thariqat Ahmadiyah berkembang dan tersebar dengan sangat lajunya. Thariqat Ahmadiyah mula mendapat sambutan yang luar biasa di Kota Bharu,Kelantan dan menimbulkan kontroversi antara murid-murid beliau dengan golongan yang tidak menyetujuinya. Untuk menenangkan suasana keresahan masyarakat, Raja Kelantan menulis tiga lembar surat pertanyaan yang ditujukan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah.

Di antara kandungan surat Raja Kelantan yang bertarikh Ramadan 1323 Hijrah (kira-kira 1905 Masihi) itu ialah, "Iaitu daripada sahaya Raja Kelantan Ibnu al-Marhum as-Sultan Muhammad, mudah-mudahan dipersampaikan kepada orang tua sahaya Wan Ahmad bin Wan Din Fathani yang mujawwir di dalam negeri Makkah al-Musyarrafah ... " Kalimat selanjutnya, "Maka adalah sahaya nyatakan kepada orang tua sahaya, bahawasanya telah jatuh di dalam negeri sahaya satu pekerjaan yang pelik, tiada pernah jatuh lagi dahulunya. Iaitu datang seorang nama Haji Encik `Ied bin Haji Jamaluddin Linggi ke Kelantan mengajarkan ilmu Thariqat Ahmadiyah, yang dipanggil orang Thariqat Rasyidi ... "

Selanjutnya, "Maka yang mengajar itu kepada sekalian bagai Muslimin, daripada laki-laki dan perempuan, besar dan kecil, yang mempunyai ilmu atawa yang jahil. Bahkan kebanyakan mereka itu daripada juhhalun nas, yang tiada sembahyang, dan tiada mengetahui furudhul `ain, `aqidatul iman, dan lainnya. Dan setengah daripada mereka itu bangsa raja-raja dan anak menteri ... "

Syeikh Ahmad al-Fathani telah menjawab pertanyaan Raja Kelantan itu dalam tiga bentuk karangan. Yang pertama diberi judul Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib. Yang kedua ditulis dalam bentuk syair bahasa Melayu, diberi judul Syair Thariqah Shufiyah. Yang ketiga ditulis dalam bentuk syair bahasa Arab, diberi judul Syair Man Li Ya Sa'id. Kesimpulan kandungan keseluruhannya ialah merupakan ilmiah yang berdiri pada pelbagai kaedah keilmuan Islam.

PENULISAN

Syeikh Muhammad Said Linggi juga menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya yang disebut dalam Kanzul Mu'id, ialah: Risalah al-Fawaid, Kasyful Ghiba'an Haqiqatir Riba, Sullamut Ta'rif ila Ilmit Tashrif, Risalah al-Fath, Nazham Kesesatan Kaum Wahabi, Al-Kasyfu wat Tanfis `an Saiyidi Ahmad bin Idris, Syarh Kunuzil Jawahirin Nuraniyah dan Kaifiyat Mengerjakan Tarawih.

Semua judul yang tersebut di atas belum saya jumpai, namun ada dua buah karangan Syeikh Muhammad Said Linggi yang tidak disebut dalam Kanzul Mu'id ada dalam simpanan saya, ialah: Rasail Jawiyah, diselesaikan pada pertengahan Rabiulakhir 1323 Hijrah di Bandar Singapura. Cetakan huruf batu atau litografi tetapi tidak terdapat nama dan tempat di mana dicetak. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai hizib yang diamalkan para Auliya. Perbicaraan dimulai daripada Thariqat Syaziliyah dan diikuti dengan Thariqat Ahmadiyah yang dilengkapi dengan riwayat, silsilah dan berbagai-bagai wirid, amalan-amalan dan lain-lain yang ada kaitan dengannya.

Karangan Muhammad Said Linggi yang masih dalam bentuk manuskrip berjudul Silsilah Thariqah An-Naqsyabandiyah. Naskhah ini saya peroleh pada satu kampung di Negeri Sembilan daripada salah seorang murid Muhammad Said Linggi. Pada awal naskhah dinyatakan bahawa beliau menerima Thariqat Naqsyabandiyah di Mekah kepada Syeikh Usman Rais. Dinyatakan bahawa Muhammad Said bin Jamaluddin al-Linqi ar-Rasyidiyah selesai menulis pada bulan Rejab (tanpa dinyatakan tahun). Naskhah yang dibicarakan ini adalah salinan, tanpa nama penyalin, yang diselesaikan pada 27 Safar 1360 Hijrah, iaitu kira-kira 15 tahun setelah Syeikh Muhammad Sa'id meninggal dunia.

KETURUNAN

Ketika Syeikh Muhammad Said meninggal dunia, beliau meninggalkan 16 orang anak. Sebagai pengganti menjadi Khalifah Thariqat Ahmadiyah adalah anaknya yang bernama Syeikh Haji Abdullah. Anak beliau yang banyak menghasilkan karangan ialah Haji Ahmad yang ketika hidupnya pernah menjadi Mufti Negeri Sembilan. Di antara anak Syeikh Muhammad Said yang sempat saya jumpai ada dua orang iaitu Haji Mansur (1970) dan Haji Tahir (1990). Pertemuan saya dengan kedua-dua anak beliau yang tersebut mempunyai kesan tersendiri.

Tuan Tulis Wali Keramat

Makam Tuan Tulis


DI NEGERI SEMBILAN, tokoh agama, Ismail Hussein atau lebih dikenali sebagai Tuan Tulis dianggap antara wali Allah yang cukup terkenal khasnya di Kuala Talang, Kuala Pilah.

Tuan Tulis juga dikenali sebagai kerabat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kerana pernah mengubati Yang Dipertuan Besar pertama di London pada 1925, sedangkan ketika itu beliau sebenarnya sudah meninggal dunia.

Dilahirkan di kalangan keluarga miskin, beliau dikatakan sangat tekun mendalami ilmu agama walaupun dalam kesukaran. Sanggup berjalan kaki merantau hingga ke Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang untuk berguru terutama dengan Tok Ayah Man (Tuan Guru Haji Abd Rahman).

Masjid Tuan Tulis

Ketika berguru dengan Tok Ayah Man, Tuan Tulis tidak mampu membeli kitab disebabkan miskin, tetapi rajin dengan berusaha menyalin semua kitab yang dipelajari serta isu kuliah gurunya. Setiap malam beliau akan menyalin kitab yang akan dipelajari pada keesokan hari dengan meminjam buku daripada rakannya.

Tabiatnya yang rajin dan tekun menulis menyebabkan beliau digelar ‘Ismail Tulis’. Apabila tamat pengajian, orang kampung menghormatinya dengan panggilan ‘Tuan Tulis’. Usaha menulis itu dilakukan berterusan sehingga kitab yang diajar gurunya siap disalin dengan tulisan tangannya sendiri.

Banyak kitab yang disalin, antaranya Tafsir Jalalain dan 30 juzuk al-Quran yang dilakukannya ketika masa lapang. Semua kitab dan ayat al-Quran itu disalin menggunakan dakwat dibuat sendiri hasil campuran arang para dan getah limau kasturi manakala penanya dibuat daripada bilah segar kabung

"....selepas ditanya ke mana beliau menghilang, dengan selamba Tuan Tulis mengatakan dia membantu memadam kebakaran di Makkah."
Pengkaji tokoh wali Tanah Melayu, Abdul Ghani Said dalam kajiannya menjelaskan, Tuan Tulis pernah membantu memadam kebakaran di Makkah pada 1900. Kejadian itu berlaku ketika tukang cukur masuk ke dalam rumah mengasah pisau dan terperanjat mendapati Tuan Tulis tiada di kerusinya.

Tidak lama selepas itu, beliau muncul kembali dan selepas ditanya ke mana beliau menghilang, dengan selamba Tuan Tulis mengatakan dia membantu memadam kebakaran di Makkah.

“Tuan Tulis kembali ke rahmatullah pada 1922, tetapi pada 1925, berlaku peristiwa benar di mana beliau dikatakan mengubat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad ibnu Tuanku Antah di London.

“Hubungan mereka rapat kerana Tuan Tulis tinggal berdekatan dengan istana Sri Menanti di Kuala Pilah. Dalam pertemuan itu, Tuan Tulis meminta segelas air lalu dijampinya dan disapu ke tempat sakit manakala baki air itu diminum Tuanku Muhammad. Selepas itu, baginda beransur sembuh dan kemudian masuk ke dalam bilik untuk mengambil sesuatu.

“Apabila keluar, baginda menyedari Tuan Tulis sudah ghaib. Selepas itu barulah baginda sedar sebenarnya wali Allah itu sudah meninggal dunia tiga tahun sebelum kejadian itu. Beliau cuma hadir secara kerohanian,” katanya.

Antara peristiwa lain yang menunjukkan karamah Tuan Tulis yang pernah diceritakan secara lisan ialah pernah berlaku ketika beliau bersama anak muridnya mengerjakan bendang, mereka disajikan buah tamar segar seolah-olah baru dipetik, sedangkan kawasan itu memang tiada pokok tamar.

Tuan Tulis juga menternak kerbau, anehnya, binatang peliharaannya tidak pernah memakan padi penduduk, tidak seperti kerbau orang lain. Katanya, beliau pernah berpesan kepada kerbaunya ‘kamu makan rumput saja, jangan makan padi orang’.

" Kehalusan budinya bukan saja kepada manusia tetapi kepada binatang. Suatu hari..... "
Disebabkan itu, penduduk di situ memang mengenali kerbau Tuan Tulis dan memang tidak akan memakan padi mereka. Kerbau itu dibiarkan merayau tanpa ditambat dan orang kampung tidak akan menghalau kerbau Tuan Tulis jika masuk ke bendang mereka.

Kehalusan budinya bukan saja kepada manusia tetapi kepada binatang. Suatu hari ketika dalam perjalanan, beliau terserempak dengan sekumpulan semut yang tidak dapat meneruskan perjalanan kerana dihalang lopak air. Beliau berhenti dan membuat jambatan kecil sehingga semua semua itu melepasi lopak air.

Beliau juga tidak sanggup melihat binatang diseksa dikurung dan pernah membeli burung dalam sangkar lalu membebaskannya.

Tuan Tulis sendiri memelihara beratus ekor burung merpati tetapi dilepas bebas, diberi makan, minum dan disediakan rumah burung untuk berteduh dan bertelur. Selepas kematiannya, beratus merpati peliharaannya terbang mengiringi jenazah dan melindungi jenazahnya daripada pancaran matahari terik.

Sebaik saja upacara pengebumian selesai, semua burung itu menghilang dan tidak pulang ke sarangnya.


Rujukan: Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

INFO: Ismail Hussein

* Suka bergaul dengan orang jahil dan mendampingi mereka dengan tujuan berdakwah.

* Sentiasa menjadi tempat rujuk masyarakat dan menyelesaikan permasalahan penduduk.

* Mendirikan masjid di Kampung Kuala Talang secara gotong royong selama dua tahun dan siap pada 1922.

* Gemar memaki kain pelikat atau seluar jerut, berbaju Melayu atau baju labuh, sentiasa berkopiah.

* Meninggal dunia ketika sedang bertafakur selepas sembahyang Subuh kira-kira jam 7.30 pagi.

* Tidak meninggal zuriat dan harta tetapi mempunyai anak murid yang ramai.

Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani - Guru agama Sultan Kedah



PENGENALAN awal gerangan orang yang bernama Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani hanyalah daripada satu sumber sahaja, iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Kerani Muhammad Arshad dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, yang kemudian ditransliterasikan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968.

Oleh sebab ulama ini dinyatakan dalam buku yang tersebut adalah ayah atau orang tua kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sedangkan dalam beberapa maklumat yang lain ayah atau orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Syeikh Abdullah, dan yang lain pula menyebut bernama Syeikh Abdur Rahman, maka penelitian dan kajian yang lebih kemas perlu dilakukan.

ASAL USUL DAN KEDATANGAN KE NUSANTARA
Nama lengkap beliau ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Berasal dari San’a, Yaman. Nama-nama lain untuk personaliti ini ialah Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman belum dibicarakan di sini, selanjutnya dibahas di bawah judul Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani.

Tersebut kisah seorang Arab penyebar Islam yang berasal dari San’a, Yemen. Nama beliau ialah Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahhab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani. Kurang jelas tahun kedatangannya ke Palembang, Indonesia namun dikatakan bahawa setelah enam bulan beliau berada di Palembang, beliau berangkat ke Tanah Jawa bersama muridnya, Tengku Muhammad Jiwa keturunan Sultan Kedah.

Beliau menyebar Islam di Pulau Jawa tidak lama, lalu berangkat pula ke India. Muridnya yang berasal dari Kedah itu juga mengikut beliau ke India. Oleh kerana Tuan Syeikh Abdul Jalil tidak mengetahui bahawa muridnya yang setia itu seorang anak raja, maka seolah-olah Tengku Muhammad Jiwa itu adalah sebagai khadamnya. Namun demikian, muridnya itu sangat pandai menyembunyikan kebangsawanannya. Bahawa dia sentiasa tawaduk kepada Syeikh Abdul Jalil itu.

Syeikh Abdul Jalil dan muridnya itu sentiasa berpindah-pindah tempat di negeri India itu, barangkali sangat banyak kota dan kampung menjadi tempat kegiatan dakwah yang beliau rintis, sehinggakan di negeri India beliau mendapat seorang murid yang setia seperti Tengku Muhammad Jiwa, nama pemuda itu Hapisap.

Setelah sekian lama Tengku Muhammad Jiwa menjadi muridnya, namun Tengku Muhammad Jiwa tetap menyembunyikan dirinya sebagai seorang putera raja Kedah.
Pada satu ketika Tengku Muhammad Jiwa menceritakan kepada gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan sahabatnya Hapisap bahawa Kedah satu negeri besar juga, rajanya seorang Islam bernama Sultan Abdullah. Tengku Muhammad Jiwa mengatakan bahawa adalah patut Tuan Syeikh dan Hapisap berlayar ke sebelah sana.

Ajakan Tengku Muhammad Jiwa itu tiada lain, melainkan didorong oleh kerinduan beliau kepada sanak keluarga, rasa cinta kepada tanah air dan utamanya, ingin menyebar agama Islam lebih luas lagi.
Dari segi hubungan sanak-saudara, ia teringatkan hadis-hadis tentang suatu kewajipan menghubungi silaturahim yang telah terputus, antaranya dengan sanak-saudara di Kedah itu. Ditinjau dari segi cinta kepada tanah air, ia tiada lupa bahawa, mencintai tanah air itu adalah sebahagian daripada iman (hadis Nabi Muhammad s.a.w.).

Ampuh dan kukuh

Lebih dari segala itu adalah menyebarkan Islam, bahawa ia berasaskan kewajipan menyebarkan ilmu pengetahuan Islam, kerana ilmu yang dikuasainya sangat banyak dan mendalam yang diterimanya dari Syeikh Abdul Jalil Mahdani itu. Bahawa ia bercita-cita membina Islam di Kedah yang telah kuat berpegang dengan dasar-dasar Islam sejak lama itu lebih ampuh dan kukuh asas Islamnya pada masanya, dan masa-masa mendatang kemudian daripadanya.

Pada tahun itu juga (1122 H bersamaan 1710 M), Syeikh Abdul Jalil Mahdani berkenan memenuhi ajakan muridnya itu, maka berangkatlah mereka bertiga dengan sebuah kapal yang berasal dari sebuah pelabuhan Arab (berbangsa Maskat) yang kebetulan singgah di India untuk menuju ke Tenggara. Dalam pelayaran itu mereka singgah di pelabuhan Murgi/Murgui di negeri Burma.

Kejadian di Negeri Kedah pula pada masa keberangkatan Tengku Muhammad Jiwa, bahawa ayah Tengku Muhammad Jiwa, Sultan Abdullah al-Muazzam Shah mangkat pada 13 Jamadilakhir 1118 H/1706 M. Baginda diganti oleh puteranya, Tengku Ahmad Tajuddin Halim Syah. Baginda mangkat pula. Oleh kerana Tengku Ahmad Tajuddin tidak meninggalkan putera mahupun puteri, maka timbullah masalah tentang pengganti baginda sebagai Sultan Kedah.
Maka, para pembesar Kedah sepakat untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa, kerana enam tahun lamanya meninggalkan Kedah tanpa memberi berita sesuatu apa pun juga.

Dato’ Kema Jaya berangkat mencari berita ke arah jurusan Sumatera dan Jawa. Dato’ Indera Mambang menuju ke arah jurusan India dan Burma. Dato’ Seri Indera Mambang berhasil menemui Tengku Muhammad Jiwa, yang kebetulan kapal layar kedua-dua pihak itu berlabuh di pelabuhan negeri Burma.

Pada mulanya Dato’ Seri Indera Mambang tidak mengenali Tengku Muhammad Jiwa kerana pakaian yang telah berubah, mungkin kerana menurut model India tidak mengikut model pakaian Melayu Kedah dan parasnya juga telah berubah. Tetapi Tengku Muhammad Jiwa masih mengenali Dato’ Seri Indera Mambang.

Setelah diketahui oleh Tengku Muhammad Jiwa bahawa ayahandanya telah mangkat, demikian juga saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin, lalu ia menangis. Maka barulah diketahui oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil bahawa Tengku Muhammad Jiwa itu adalah seorang putera Sultan Kedah sendiri.

Tengku Muhammad Jiwa menjawab pertanyaan gurunya tentang dirinya semuanya menggunakan bahasa Arab, memang tidak sia-sialah dia belajar selama ini, bahawa ia fasih berkata-kata dalam bahasa Islam yang tercinta itu. Akhirnya semua mereka berangkat menuju ke Kedah.

DILANTIK SEBAGAI MUFTI
Tengku Muhammad Jiwa dilantik menjadi Sultan Kedah menggantikan saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin. Ketika beliau ditabalkan menjadi Sultan, gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani telah membaca doa untuk baginda. Pada suatu hari, pada suatu permusyawaratan, Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata: “Hamba persilakan mamak-mamak dan guru hamba kerana hamba hendak bermuafakat hendak memberi pangkat kepada Hapisap iaitu menjadi kadi menggantikan kadi yang telah kembali ke rahmatullah Taala itu”. Maka dijawab sekalian menteri dan Tuan Syeikh, “Benar seperti titah itu”.
Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata pula, “Hamba harap guru hamba menjadi mufti di dalam negeri Kedah ini.”
Tidak berapa lama setelah pengangkatan tersebut, Tengku Muhammad Jiwa berusaha pula menjodohkan tuan gurunya, Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dengan perempuan di lingkungan istana, bernama Wan Zainab binti Dato’ Seri Maharaja Putra Dewa.

KETURUNAN
Setelah beberapa bulan perkahwinan Tuan Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Wan Zainab, tiba-tiba datang seorang muridnya dari Palembang bernama Raden Siran. Muridnya itu mengajak gurunya ziarah ke Palembang kerana murid-muridnya di Palembang sangat rindu kepada beliau.

Di Palembang, Raden Siran berusaha mencarikan isteri untuk gurunya itu, maka terjadilah perkahwinan antara Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Raden Ranti/Rantai.
Hasil perkahwinan Raden Ranti dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani itu, mereka memperoleh seorang anak, Abdus Shamad. Dialah yang dikenal sebagai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani seorang ulama sufi Asia Tenggara yang terkenal dengan karyanya yang terkemuka, Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang biografinya akan diperkenalkan kemudian.

Menerusi perkahwinan Syeikh Abdul Jalil dengan Wan Zainab di Kedah pula, beliau mendapat dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir yang menjadi Mufti Kerajaan Kedah dan Wan Abdullah yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa di Kedah.

Ada pun Syeikh Abdus Shamad Palembang itu, maklumat keturunannya hanya diketahui seorang anaknya bernama Fathimah. Mengenai kedua-dua anaknya yang di Kedah, keturunan selanjutnya belum dapat dikesan.

WAFAT
Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah. Penulis pernah sampai ke makam itu membuat penyelidikan dalam tahun 1992, memperoleh catatan bahawa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani meninggal dunia tahun 1196 H/1782 M. Kawasan makam sangat luas, sekali-sekali ada orang datang berziarah kerana membayar nazar.
Penulis diberitahu oleh salah seorang penunggu makam bahawa orang-orang India datang ke tempat itu setahun sekali, secara beramai-ramai kerana membuat kenduri dan menyampaikan nazar.

Siapa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani..?
- Ayah kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani
- Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.
- Berasal dari San'a, Yemen.
- Nama-nama lainnya ialah; Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.
- Berkahwin dengan Wan Zainab (Kedah) dan Raden Ranti/Rantai (Palembang).
- Meninggal dunia pada 1196 H/1782 M.
- Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah.

SYEIKH ABDUL LATIF ULAMA ASAL MELAKA

Syeikh Abdul Lathif Tambi - Ulama, gigih, dermawan
TIDAK banyak sejarah ulama ini diperkenalkan, namun pernah ditulis oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam Peringatan, No. 1, th 1, Mei 1939. Gambarnya menghiasi muka depan majalah Qalam, Singapura, No. 158, terbitan Rabiulakhir 1383 H/September 1963 M. Sesudah itu riwayat hidup ringkasnya dimuat dalam majalah Qalam, No. 160, terbitan Jamadilawal/Rejab 1383 H/November 1963 M. Selanjutnya telah saya dokumenkan yang dinamakan Warqah Maklumat No. 31/PENGKAJI/1422/2001, tarikh Jumaat, 26 Jamadilakhir 1422 H/14 September 2001 M.

Datuk neneknya (lima lapis ke atas) berasal dari India yang beragama Islam. Haji Abdul Lathif berasal dari Melaka, tinggal di Kampung Teluk Mas, Melaka. Nama lengkapnya, Haji Abdul Lathif bin Haji Muhammad Nuruddin (Haji Tambi) bin Muhammad Shalih al-Malakawi at-Tankirawii. Gelarannya ialah Bahauddin. Gelaran ini diberikan oleh Syeikh Ahmad bin Abdur Rauf, ulama besar dan Mufti Melaka yang hidup sezaman dengan beliau.

Abdul Lathif lahir di Melaka pada tahun 1288 H/1872 M. dan meninggal dunia pada hari Jumaat pukul 2.30 tengah malam, 17 Rejab 1358 H/1 September 1939 M. Dikebumikan di Perkuburan Tengkera, Melaka.

Beliau dibesarkan di Singapura. Ketika berusia lapan tahun, beliau dikirim oleh ayahnya ke Mekah. Pendidikan di Mekah dilaluinya kira-kira 20 tahun, iaitu dari tahun 1880 M. hingga tahun 1900 M.

Kebangkitan

Di antara ulama-ulama dunia Melayu yang menjadi guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau dan ramai lagi.

Kehadirannya di Mekah bersamaan dengan tahun kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani yang mencetuskan Jam`iyatul Fathaniyah dalam gerakannya di Mekah, Mesir dan Turki.Oleh kerana itu tidak ragu-ragu lagi bahawa Abdul Lathif Tambi adalah termasuk salah seorang kader Syeikh Ahmad al-Fathani dan barisan ulama yang bersamanya.

Beliau mulai giat mengajar pada tahun 1318 H/1900 M di Singapura. Di sebuah ruangan kecil di dalam kedai menjual kain ayahnya di Arab Street, Singapura digunakannya untuk tempat mengajar. Selain itu Abdul Lathif Tambi juga mengajar di rumah kediamannya di North Bird Road, Singapura. Beliau juga giat berdakwah dan mengajar di tempat-tempat lain, di antaranya di Melaka, Pulau Pinang, Medan (Sumatera Utara), Surabaya, Bandung dan Tanjung Pinang (Kepulauan Riau).

Selain mengajar beliau juga aktif dalam perniagaan kain di Arab Street, Singapura. Beliau memiliki perniagaan mesin cetak, Lathifiyah Press, 768 di North Bird Road, Singapura dan Mathba'ah Al-Lathifiyah Al-Malakawiyah di Terengkera, Melaka. Hubungan perniagaannya yang dapat dikesan ialah Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Medan, Tanjung Pinang (Kepulauan Riau), Surabaya dan Bandung.

Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang gigih berjuang sekali gus sebagai seorang saudagar (hartawan) yang dermawan pada zamannya.

Di antara perwatakan peribadinya yang pernah disebut di dalam majalah Qalam pula, "Almarhum ialah seorang hartawan dan dermawan, iaitu selain sebagai seorang ulama yang terbilang pada zamannya. Almarhum sepanjang hayatnya adalah sentiasa mengajar dan banyak daripada murid-murid almarhum hingga sekarang ini masih ada lagi. Dan banyak pula di antaranya yang termasuk golongan yang terbilang.''

Selanjutnya, "... Beliau membuat syarahannya dengan gaya dan cara yang menarik terutamanya pula almarhum seorang yang pandai membuat jenaka. Dengan cara itu syarahan beliau menjadi perhatian dan sangat menarik. Beliau terkadang-kadang memakai serban tetapi yang terbanyak beliau memakai tharbusy.''

Disebutkan pula, "Demikianlah sebagai satu suluh, almarhum telah menyinarkan syiar Islam dengan kemahuan dan tenaga sendiri, berjihad pada jalan Allah, bukan sahaja dengan ilmunya tetapi dengan harta dan tenaga ...''

Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah: Ustaz Hasyim Yunus yang pernah menjadi pengarang Warta Malaya, A. Hassan Bandung, Haji Junaid bin Imam Haji Ibrahim, Ustaz Muhammad bin Muhammad Sa'id dan ramai lagi.

Abdul Lathif Tambi termasuk ulama Kaum Tua yang berpegang teguh mengikut Mazhab Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Sebaliknya A. Hassan Bandung adalah anak saudara dan muridnya, merupakan pelopor Kaum Muda yang paling terkenal dan mengundang kontroversi di Nusantara.

Di antara karyanya yang telah ditemui atau yang telah diketahui judulnya ialah:

1. Hidayatur Rahman, diselesaikan pada hari Isnin, 15 Jamadilawal 1318 H/1900 M. Cetakan yang ketiga dilakukan di percetakan miliknya sendiri, iaitu Mathba'ah al-Lathifiyah al-Malakawiyah, Melaka pada akhir Syawal 1348 H. Kandungannya membicarakan akidah menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Pada halaman 86 kitab ini Abdul Lathif Tambi menegaskan, `` ...Iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah inilah iktikad yang betul,lagi sempurna daripada segala iktikad yang lain. Dan iktikad inilah, wahai thalib, yang dipegang oleh ulama yang besar-besar. Maka wajiblah di atas tiap-tiap mukalaf berpegang dengan iktikad mereka itu ...''.

Ada pun yang dimaksudkan dengan Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu Abdul Lathif Tambi sama pendapatnya dengan jumhur ulama. Beliau menegaskan pada bahagian tepi kitab ini dengan katanya, "Qauluhu, Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu mengikut iktikad (Imam) Abil Hasan al-Asy'ari dan (Imam) Abil Manshur al-Maturidi''.

2. Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan), diselesaikan pada malam Sabtu, 13 Rabiulakhir 1343 H/1924 M. Dicetak oleh Mathba`ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 25 Jamadilakhir 1344 H.

Kandungan ringkas: Membicarakan beberapa masalah dan berbagai-bagai disiplin ilmu Islam terutama sekali beberapa pertikaian pendapat atau khilafiyah dalam Islam.

Pada setiap perbahasan di beberapa tempat disebut kitab-kitab rujukan dalam bahasa Arab dan demikian juga kitab-kitab Melayu/Jawi lengkap dengan tahun cetakan dan halaman permasalahan yang dipetik.

Di antara kitab Melayu/Jawi yang disebut seperti pada halaman 7 disebut kitab berjudul Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Acheh cetakan tahun 1333 H dan Ad-Durruts Tsamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (halaman 7 dan 12) cetakan tahun 1338 H mengenai perbahasan akidah.

Fikah

Pada halaman 40 disebut Mathla'ul Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani mengenai perbahasan fikah dan kitab yang sama disebut lagi pada halaman 84 pada perbahasan tasawuf. Pada halaman 74 disebut Furu`ul Masail jilid kedua oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1307 H juga mengenai perbahasan fikah.

Pada halaman 76 dan 81 disebut Siyarus Salikin jilid ketiga oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1309 Hijrah mengenai perbahasan tasawuf. Pada halaman disebut Hidayatus Salikin oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1340 Hijrah juga mengenai perbahasan tasawuf.

Pada halaman 96 juga disebut Hidayatus Salikin mengenai ilmu yang memberi manfaat. Di antara kitab bahasa Arab yang dikarang oleh ulama dunia Melayu yang dirujuk ialah Shulhul Juma'atain (hlm. 60) cetakan tahun 1312 Hijrah dan Itsbatuz Zain (hlm. 71) cetakan tahun 1315 H, kedua-duanya oleh Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau. Juga Miraqil 'Ubudiyah (hlm. 97) cetakan tahun 1328 H, oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

3. Risalah Buat Sementara Yang Sebenarnya Kelak Ketara, diselesaikan pada hari Jumaat, 23 Jamadilawal 1354 H/26 Ogos 1935 M). Dicetak oleh Melaka Lathifiyah Press, Singapura, tanpa tarikh.

Kandungannya membicarakan perkara khilafiyah merupakan sanggahan terhadap karangan Syeikh Muhammad Ali bin Husein al-Maliki, yang dicetak di Jeddah, 18 Rabiulawal 1353 H tentang haram memukul ketuk-ketuk (beduk).

Karangan ini adalah lanjutan atau memperkukuh sebuah karya yang ditulis oleh al-Alim al-'Allamah Syeikh Abdul Muhaimin bin Abdul Aziz al-Lasami (Lasem).

4. Dalailul Khairat. Kandungannya belum diketahui, kerana judul ini diketahui melalui iklan Al-Ahmadiah Press pada halaman belakang risalah Ibu Di Dalam Rumahnya oleh Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan Riau, cetakan tahun 1926 M.

5. Qiblah Dalail al-Hairan fi Jawazi Hadmi Masjid as-Sulthan. Judul ini diketahui melalui karya beliau berjudul Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan). Mengenainya disebut beberapa halaman dalam kitab tersebut di antaranya halaman 83.

Judul ini ditulis barangkali ada kaitan dengan peristiwa perombakan Masjid Sultan Singapura yang diungkapkan dalam majalah Qalam, "Apabila terbit perbahasan mengganti bangunan Masjid Sultan yang lama dengan Masjid Sultan yang ada sekarang ini, maka almarhum banyak mengambil bahagian di dalam perbahasan yang hebat dan panjang di antara ulama itu. Iaitu tentang boleh merobohkan sebuah masjid menggantikanya dengan yang baru, ertinya memutuskan amal jariah seseorang yang telah terbina di situ.''

Tulisan ini diringkaskan daripada artikel berjudul Syeikh A. Latif Tamby Dan Pembelaannya Terhadap Akidah Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah

Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari


Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari - Ahli falak dunia Melayu
Biografi atau riwayat hidup Syeikh Tahir Jalaluddin ahli falak dunia melayu ini agak banyak ditulis orang. Walau bagaimanapun artikel ini merujuk sumber-sumber asli berupa catatan Syeikh Tahir Jalaluddin sendiri, surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani tahun 1323-1325 Hijrah dan lain-lain. 
 
Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Tahir bin Muhammad bin Jalaluddin Ahmad bin Abdullah al- Minankabawi al-Azhari. Ayahnya meninggal dunia di Cangking, Minangkabau pada hari Ahad 27 Jamadilawal 1288 Hijrah/14 0gos 1871 Masihi. Ibunya juga meninggal dunia di Cangking pada 1295 Hijrah/1878 Masihi.

Syeikh Tahir lahir di Cangking, Minangkabau pukul 4.45 pada hari Selasa, 4 Ramadan 1286 Hijrah/8 Disember 1869 Masihi. Meninggal dunia di Kuala Kangsar, Perak, sesudah sembahyang Subuh pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1376 Hijrah/26 Oktober 1956 Masihi.


Sungguh pun Syeikh Tahir dalam catatannya menyebut tarikh lahirnya 4 Ramadan 1286 Hijrah/8 Disember 1869 Masihi tetapi dalam buku Ulama Silam Dalam Kenangan, halaman 20, dinyatakan bahawa beliau lahir pada 7 November 1869 Masihi. Tarikh yang diberikan ini adalah bertentangan dengan catatan Syeikh Tahir sendiri. Tarikh 7 November 1869 Masihi adalah bersamaan 2 Syaaban 1286 Hijrah, hari Sabtu, bukannya bersamaan 4 Ramadan 1286, hari Selasa.

PENDIDIKAN

Pada tahun 1296 Hijrah/1879 Masihi, dalam usia 10 tahun beliau ke Mekah bersama Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif iaitu saudara sepupu beliau sendiri. Sampai di Mekah beliau dipelihara oleh Syeikh Muhammad Saleh al-Kurdi. Beliau mengaji al-Quran kepada Syeikh Abdul Haq di Madrasah Asy-Syaikh Rahmatullah serta belajar kitab kepada Syeikh Umar Syatha, Syeikh Muhammad al-Khaiyath dan Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi.

Syeikh Ahmad al-Fathani ulama Melayu yang masyur kealimanya juga termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Tahir Jalaluddin. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani pulang dari Mesir dan ke Mekah pada akhir tahun 1299 Hijrah/1881 Masihi atau awal 1300 Hijrah/ 1882 Masihi, beliau mempengaruhi pemuda-pemuda Melayu dan murid-murid beliau di Mekah mengenai kelebihan pendidikan di Masjid Al-Azhar, Mesir. Maka pemuda Melayu peringkat pertama yang dikirim oleh Syeikh Ahmad al-Fathani belajar di Mesir ada beberapa orang, antaranya termasuklah Syeikh Tahir Jalaluddin.

Sewaktu Syeikh Tahir berada di Mesir, terdapat banyak surat timbal-balik antara kedua-duanya. Syeikh Ahmad al-Fathani memberikan kepercayaan kepadanya dalam kepengurusan putera-putera DiRaja Riau yang beliau kirim ke Mesir, termasuk juga anak Syeikh Ahmad al-Fathani yang bernama Haji Ismail, Muhammad Zain bin Ahmad Kelantan dan lain-lain. Dalam suratnya Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut Syeikh Tahir Jalaluddin dengan panggilan "waladuna'' ertinya "anak kami'' atau maksudnya "anaknda''. Sebaliknya Syeikh Tahir Jalaluddin menyebut Syeikh Ahmad al-Fathani dengan panggilan "waliduna'' ertinya "ayah kami'' atau maksudnya "ayahnda''.

CATATAN PERKAHWINAN

Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin beberapa kali. Catatan beliau sendiri dinyatakan bahawa: kahwin di Mekah pada hari Sabtu, 26 Zulkaedah 1305 Hijrah/4 Ogos 1888 Masihi dengan Aisyah binti Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail al-Khalidi. Diakadkan oleh Sayid Bakri Syatha yang menerima wakil daripada Syeikh Ismail bin Syeikh Muhammad di hadapan Sayid Umar Syatha, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail, Syeikh Muhammad Saleh al-Kurdi, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Ismail bin Syeikh Muhammad, saudara Aisyah. Perkahwinan yang pertama ini adalah dengan cucu Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi, ulama besar yang terkenal dan penyebar Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah.

Kemudian Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin lagi dengan Kaltsum binti Haji Ibrahim, pada malam Jumaat, 9 Rejab 1310 Hijrah/27 Januari 1893 Masihi. Selanjutnya pada malam Jumaat 13 Ramadan 1310 Hijrah/31 Mac 1893 Masihi, berkahwin pula dengan Jamilah binti Haji Abdul Karim. Pada malam Khamis, 20 Jamadilawal 1317 Hijrah/23 September 1899 Masihi berkahwin dengan Aisyah binti Haji Mustafa bin Datuk Menteri Sati yang dihadiri oleh Syeikh Muhammad al-Khaiyath, Haji Hasyim Kelantan dan lain-lain. Selain yang tersebut masih ada lagi.

PENGEMBARAAN

Syeikh Tahir juga mencatat siri pengembaraan dan pengalamannya di beberapa kerajaan Nusantara, iaitu beliau pertama kali menginjakkan kakinya di Singapura pada 9 Ramadan 1305 Hijrah/20 Mei 1888 Masihi. Pada 15 Safar 1310 Hijrah/8 September 1892 Masihi pergi ke Riau, Pulau Penyengat. Di sana beliau berjumpa dengan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi. Raja Muhammad Tahir Hakim bin al-Marhum Mursyid, Hakim Riau, menyarankan supaya Syeikh Tahir tidak meneruskan perjalanan kerana cerdik pandai Riau bermaksud bermuzakarah kitab falak berjudul "At-Thal'us Said'', maka beliau tinggal di Pulau Penyengat itu hingga bulan Rabiulakhir.

Dari Penyengat, Syeikh Tahir kembali ke Singapura. Kemudian dengan menumpang sebuah kapal layar beliau menuju ke Siantan, Kepulauan Anambas bersama Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi. Oleh sebab ketika itu kepulauan tersebut diserang wabak sakit biri-biri (sakit kebas), mereka terpaksa pulang ke Singapura pada bulan Syaaban 1316 Hijrah/Januari 1899 Masihi, dengan menumpang sebuah tongkang yang membawa kelapa kering (kopra).

Pada 5 Ramadan 1321 Hijrah/24 November 1903 Masihi, Syeikh Tahir ke Surabaya dan singgah di Bali, Boleleng dan Ampenan. Pada 9 Ramadan 1321 Hijrah/28 November 1903 Masihi, beliau sampai di Pulau Sumbawa. Pada 13 Ramadan 1321 Hijrah/2 Disember 1903 Masihi hari Rabu, Syeikh Tahir Jalaluddin berhenti di rumah Tuan Qadhi Haji Muhammad Saleh. Sultan Muhammad Jalaluddin ibni Sultan Muhammad Daimuddin, Sumbawa, mempelawa supaya beliau tinggal di Sumbawa. Pada 7 Zulhijjah 1321 Hijrah/23 Februari 1904 Masihi, Syeikh Tahir dari Sumbawa menuju ke Bima. Tiba di Bima pada 25 Februari beliau berhenti di rumah Imam Haji Thalib dan mengadap Sultan Ibrahim bin Sultan Abdullah bin Sultan Ismail bin Sultan Abdul Hamid.

Pada 16 Zulhijjah 1321 Hijrah/3 Mac 1904 Masihi, Syeikh Tahir Jalaluddin dari Bima menuju ke Makasar. Sampai di Makasar pada 16 Mac 1904 beliau berhenti di rumah Haji Ahmad Rifa'ie dan berkenalan dengan Haji Muhammad Saleh Palembang dan Raden Haji Abdul Ghani Palembang. Pada 17 Mac beliau ke Goa menemui Haji Daud Daeng Manabi' bin Yusuf. Kemudian menghadap Sultan Husein bin Sultan Idris bin Sultan Abdul Qadir bin Al-Amir Mahmud Goa.

PENULISAN DAN SUMBANGAN

1. Irsyadul Khaidhi li `Ilmil Faraidhi, penggal yang pertama, diselesaikan pada hari Khamis, 12 Jamadilakhir 1348 Hijrah. Cetakan pertama, Mathba'ah Al-Ahmadiah 82 Jalan Sultan, Singapura, 10 Rejab 1348 Hijrah/11 Disember 1929 Masihi. Kandungannya membicarakan masalah membahagi pusaka. Penggal yang kedua, diselesaikan pada hari Jumaat, 9 Safar 1371 Hijrah. Cetakan pertama, oleh percetakan yang sama, 1371 Hijrah/1952 Masihi.

2. Huraian Yang Membakar, Taman Persuraian Haji, diselesaikan pada tahun 1349 Hijrah. Kandungannya merupakan polemik, membantah karangan Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar yang berjudul Taman Persuraian. Pokok perbicaraan ialah sembahyang sunat sebelum sembahyang Jumaat. Kitab di atas dibantah lagi oleh Haji Abu Bakar Muar dengan karangannya Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minkabawi, ditulis pada 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi.

3. Perisai Orang Beriman Pengisai Mazhab Orang Qadyan, diselesaikan pada 4 Rabiulawal 1349 Hijrah/30 Julai 1930 Masihi, di Singapura. Dicatatkan umur pengarang 62 tahun Qamariyah, 6 bulan genap. Atau 60 tahun Syamsiyah, 7 bulan, 23 hari. Kandungannya membantah ajaran Qadyani. Cetakan pertama oleh Setia Press, 32 Lorong 21 Geylang Singapura.

4. Ithaful Murid fi Ahkamit Tajwid, tanpa disebut tarikh selesai penulisan. Kandungan pelajaran tajwid al-Quran. Cetakan yang ketiga, Jelutong Press, Pulau Pinang, 1349 Hijrah/1931 Masihi. Cetakan yang keempat, Mathba'ah Persama, Pulau Pinang, 1352 Hijrah/1933 Masihi.

5. Ta'yidu Tazkirah Mutba'is Sunnah fir Raddi `alal Qa-ili bi Saniyati Raka'ataini Qablal Jum'ah, dalam bahasa Arab. Diselesaikan di Pulau Pinang pada 12 Syawal 1349 H. Kandungannya membahas perkara khilafiyah sembahyang sunat dua rakaat sebelum sembahyang Jumaat. Dicetak oleh The United Press, 55 Achen Street, Penang, 1372 Hijrah/1953 Masihi.

6. Natijatul `Umur, diselesaikan: 1355 Hijrah/1936 Masihi. Kandungannya mendapatkan perkiraan/perhitungan pada taqwim tarikh hijri dan miladi, arah Kiblat dan waktu-waktu sembahyang yang boleh digunakan selama hidup. Dicetak oleh Penang Printer Press, Pulau Pinang, 1355 Hijrah/ 1936 Masihi.

7. Jadawil Pati Kiraan Pada Menyatakan Waktu Yang Lima Dan Hala Qiblat Dengan Logharitma, diselesaikan 15 Syaaban 1356 Hijrah. Kandungan perhitungan falakiyah. Pada halaman 13 ada dicatat bahawa gurunya al-'Allamah Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Khaiyath, ulama al-Haramul Makki yang mengajar berbagai-bagai ilmu di Masjidil Haram khusus `ilmul hisab dan `ilmul falak. Kemudian ulama tersebut dilantik menjadi Syeikh al-Islam Kedah yang meninggal dunia di Batuban, Pulau Pinang, pada malam Rabu, 17 Rejab 1333 Hijrah. Cetakan yang pertama oleh Al-Ahmadiah Press Singapura, 1357 Hijrah/1938 Masihi. Dicetak dalam bentuk kombinasi Melayu/Jawi dan Latin/Rumi.

8. Nukhbatut Taqrirat fi Hisabil Auqat wa Sammatil Qiblat bil Lugharitmat, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Kandungannya membicarakan kaedah ilmu falak. Huraiannya ditulis dalam bahasa Arab sedang jadual yang menggunakan angka ditulis dalam angka Rumi/Latin. Cetakan yang pertama, Royal Press, 745 North Bird Road, Singapura, 1356 Hijrah/1937 Masihi.

9. Al-Qiblah fi Nushushi `Ulamais Syafi'iyah fi ma Yata'allaqu bi Istiqbalil Qiblatis Syar'iyah Manqulah min Ummuhat Kutubil Mazhab, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya membicarakan falak. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping 1951, atas kebenaran Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak, No. (18) dlm. Pk. Red. Dept 110/50, bertarikh 21 September 1950. Terdapat lapan nama ulama yang mengesahkan, ialah Haji Abdullah Pak Him, Mufti Pulau Pinang, Haji Ahmad bin Tuan Husein Kedah, Guru Besar Sekolah Arab Pokok Sena Seberang Perai, Haji Syihabuddin bin Abdus Shamad Sungai Dua, Haji Hamzah bin Haji Muhammad Ali Pak Jak Sung, Seberang Perai, Haji Muhammad Saleh al-Masri, Sekolah Arab Bukit Martajam, Haji Muhammad Sa'ad al-Masri, Sekolah Arab Bukit Martajam, Abdul Halim Utsman Mudir Al-Ma'had al-Mahmud Alor Setar dan Muhammad Nawawi bin Muhammad Tahir, Guru Agama Perak.

SENARAI RINGKAS PARA ULAMA DARI KURUN PERTAMA HINGGA KURUN KE 15 HIJRIYYAH


Ulama Kurun Pertama Hijrah
1. Amirul-Mu'minin Abu Bakr ^Abdullah ibn Abi Qahafah al-Siddiq 13 H.
2. Amirul-Mu'minin ^Umar ibnul-Khattab al-Faruq 24 H.
3. Amirul-Mu'minin ^Uthman ibn ^Affan Dhun-Nurayn 36 H.
4. Amirul-Mu'minin ^Ali ibn Abi Talib 40 H.
5. Al-Imam ^Abdullah ibn al-^Abbas 68 H.
6. Al-Imam ^Abdullah ibn ^Umar 74 H.
7. Al-Imam ^Abdullah bn Ja^far ibn Abi Talib 80 H.
8. Al-Imam Anas ibn Malik 90 H.
9. Al-Imam Zaynul-^Abidin ^Ali ibn al-Hasan ibn ^Ali 94 H.
10. Al-Imam Sa^id ibn Musayyib 94 H.
11. Al-Imam ^Awrah ibn al-Zubayr 94 H.
12. Al-Imam ^Ubayd ibn ^Abdullah ibn ^Utbah ibn Mas^ud 99 H.

Ulama Kurun Kedua Hijrah
1. ^Umar ibn ^Abdul-^Aziz - al-Khalifatur-Rashid (Hums) - 61/63 - 101 H.
2. Al-Imam Salim ibn ^Abdullah ibn ^Umar 106 H.
3. Al-Imam Maymun ibn Mahran 107 H.
4. Al-Imam Muhammad ibn Muslim ibn Shihab al-Zuhri 125 H.
5. Al-Imam Ja^far al-Sadiq ibn Muhammad al-Baqir ibn Zaynul-^Abidin ^Ali ibn al-Hasan ibn ^Ali 148 H.
6. Al-Imam Al-Kabir Abu Hanifah al-Nu^man ibn Thabit al-Kufi (Baghdad) 80 - 150 H.
7. Al-Imam Abu ^Amr Abdur-Rahman ibn ^Amr al-Awza^i 88 - 158 H.
8. Al-Imam Abu ^Abdullah Sufyan ibn Sa^id al-Thawri 97 - 161 H.
9. Imamul-Muhaddithin Abu ^Abdillah Malik ibn Anas ibn Malik ibn ^Amr ibn Harith 93 - 179 H.
10. Al-Qadi Abu Yusuf Ya^qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Ansari al-Kufi al-Baghdadi 113 - 182 H. 11. Al-Imam Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani 135 - 189 H.

Ulama Kurun Ketiga Hijrah
1. Al-Imam al-Mujtahid Muhammad ibn Idris al-Shafi^i (Mesir) 150 - 204 H.
2. Al-Hafiz ^Abdullah ibn Abi Shaybah 235 H.
3. Al-Imam ^Abdullah ibn Yahya ibn Mubarak 237 H.
4. Al-Imam Abu ^Abdullah Ahmad ibn Hanbal al-Shaybani 164 - 241 H.
5. Al-Sufi Dhun-Nun al-Misri 245 H.
6. Al-Imam Amirul-Mu'minin fil-Hadith Muhammad ibn Isma^il al-Bukhari 256 H.
7. Al-Hafiz ^Abdullah ibn Abi Dunya (Baghdad) 261 H.
8. Al-Hafiz Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qushayri al-Naysaburi 202 - 261 H.
9. Al-Hafiz Abu ^Abdillah Muhammad ibn Yazid ibn Majah al-Qazwini 273 H.
10. Al-Hafiz Abu ^Isa Muhammad ibn ^Isa al-Tirmidhi 209 - 279 H.

Ulama Kurun Keempat Hijrah
1. Al-Imam Muhammad ibn Jarir al-Tabari 310 H.
2. Al-Lughawi Ibrahim al-Zajjaj 311 H.
3. Al-Hafiz Abu Dawud Sulayman Ibn Ash^ath al-Sijistani 230 - 316 H.
4. Al-Hafiz al-Tirmidhi (Baghdad) 320 H.
5. Al-Imam Abu Ja^far al-Tahawi 239 - 321 H.
6. Imam Ahlis-Sunnah Abul-Hasan ^Ali ibn Isma^il ibn Abi Bishr al-Ash^ari 260 - 324 H.
7. Imam Ahlis-Sunnah Abu Mansur Muhammad ibn Muhammad al-Samarqandi al-Maturidi 333 H.
8. Al-Hafiz Abu Hatim Muhammad ibn Hibban al-Shafi^i 270 - 354 H.
9. Al-Hafiz Abul-Qasim Sulayman al-Tabarani 260 - 360 H.
10. Al-Sufi Abu ^Uthman al-Maghribi Sa^id ibn Salam 373 H.
11. Al-Shaykh ^Abdul-Karim al-Qushayri 376 H.
12. Al-Shaykh Abu Bakr ibn Muhammad Ishaq al-Kalabadhi al-Hanafi 380 H.
13. Al-Shaykh Abu Sulayman ibn Muhammad al-Khattabi 388 H.

Ulama Kurun Kelima Hijrah
1. Al-Shaykh Abu ^Abdillah al-Husayn ibn al-Hasan al-Halimi al-Shafi^i 403 H.
2. Al-Qadi Abu Bakr Muhammad al-Baqillani al-Maliki 403 H.
3. Mufti Naysabur al-Shaykh Abut-Tayyib Sahl ibn Muhammad al-Shafi^i 404 H.
4. Al-Hafiz Sahibul-Mustadrak al-Hakim Muhammad ibn ^Abdullah al-Naysaburi 405 H.
5. Al-Shaykh al-Husyan ibn Husayn al-Hamadhani 405 H.
6. Al-Shaykh Abu Muhammad al-Husyan ibn Ahmad ibn Al-Husayn al-Tara^ifi 405 H.
7. Al-Hafiz Abu ^Ali al-Husayn ibn Ahmad ibn Muhammad al-Kashi al-Shirazi 405 H.
8. Al-Imam Abu Bakr Muhammad ibn al-Hasan (Ibn Furak) 406 H.
9. Al-Qadi Abu Muhammad al-Husayn ibn al-Husayn ibn Muhammad al-Istarabadhi al-Ash^ari al-Shafi^i 412 H.
10. Al-Faqih Ja^far ibn al-Qasim Ja^far ibn ^Abdul-Wahid 415 H.
11. Al-Shaykh Abu Muslim Ja^far ibn Bay al-Jili 417 H.
12. Al-Nahwi Abu ^Ali al-Marzuqi 421 H.
13. Al-Faqih Abu ^Ali al-Husayn ibn ^Abdullah al-Bandaniji al-Shafi^i 425 H.
14. Al-Ustadh Abu Mansur ^Abdul-Qahir al-Baghdadi 429 H.
15. Al-Shaykh Abu Sa^d Isma^il ibn ^Ali al-Istarabadhi 440 H.
16. Al-Faqih Abul-Khayr Ja^far ibn Muhammad Ibn ^Uthman al-Marwazi 447 H.
17. Al-Shaykh ^Ali ibn Khalaf al-Maliki (Ibn Battal) 449 H.
18. Shaykhul-Islam Abu ^Uthman Isma^il ibn ^Abdur-Rahman ibn Ahmad al-Sabuni 449 H.
19. Al-Shaykh Abul-Hasan ^Ali ibn Muhammad ibn Habib al-Mawardi 450 H.
20. Al-Shaykh Bay ibn Ja^far Ibn Bay al-Jili 452 H.
21. Al-Hafiz Abu Bakr Ahmad ibn Husayn al-Bayhaqi (Naysabur) 458 H.
22. Al-Hafiz Abu Bakr Ahmad ibn ‘Ali Ibn Thabit ibn Ahmad ibn Mahdi al-Shafi^i al-Khatib al-Baghdadi 463 H.
23. Al-Shaykh Abu ^Ali Hassan ibn Sa^id ibn Hassan al-Makhzumi al-Haji 463 H.
24. Al-Shaykh Abul-Qasim ^Abdul-Karim ibn Hawazin al-Qushayri 465 H.
25. Al-Shaykh Abur-Rida Muhammad ibn Mahmud al-Tarazi *dilahirkan dalam tahun 469 H.
26. Al-Mutakallim Abul-Muzaffar al-Isfarayini 471 H
27. Al-Shaykh Abu Sa^d Isma^il ibn ^Abdul-Qahir al-Atrush al-Isma^ili 471 H.
28. Al-Imam Abu Ishaq al-Shirazi 472 H.
29. Al-Shaykh Badil ibn ^Ali ibn Badil al-Barzandi 475 H.
30. Al-^Alim Abul-Qasim Isma^il ibn Mus^adah ibn Isma^il al-Isma^ili al-Jurjani 477 H.
31. Imamul-Haramayn Abul-Mu^ali ^Abdul-Malik ibn ^Abdullah al-Juwayni 478 H.
32. Al-Faqih Abu Sa^id al-Mutawalli al-Shafi^i 478 H.
33. Al-Faqih al-Husayn ibn ^Abdur-Rahman ibn al-Husayn al-Nihi al-Shafi^i 480 H.
34. Al-Shaykh Abu Muhammad Isma^il ibn al-Fudayl al-Fudayli al-Harawi 488 H.

Ulama Kurun Keenam Hijrah
1. Al-Shaykh Abul-Fath Muhammad ibn Mahmud ibn al-Hasan al-Qazwini 501 H.
2. Al-Lughawi Abul-Qasim al-Husayn ibn Muhammad (al-Rajib al-Asfahani) 502 H.
3. Al-Shaykh Abul-Fadl Muhammad ibn Qinan ibn Hamid al-Anbari 503 H.
4. Al-Imam Hujjatul-Islam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Tusi al-Ghazali 505 H.
5. Al-Shaykh Abu ^Abdillah Muhammad ibn Muhammad ibn al-Hasan ibn al-Husayn 507 H.
6. Al-Shaykh Abul-Ma^in Maymun ibn Muhammad al-Nasafi 508 H.
7. Al-Imam Abul-Qasim Sulayman (Salman) ibn Nasir al-Ansari al-Naysaburi 512 H.
8. Al-Shaykh Abul-Wafa' ^Ali ibn ^Aqil al-Baghdadi al-Hanbali 513 H.
9. Al-Shaykh Abun-Nasr ^Abdur-Rahim ibn ^Abdul-Karim al-Qushayri 514 H.
10. Al-Shaykh Abul-Fath Muhammad ibn Muhammad ibn ^Ali al-Khuzaymi 515 H.
11. Al-Shaykh Muhammad ibn ^Ali Ibn Muhammad al-Larizi 518 H.
12. Al-Muhaddith Abul-Hasan Muhammad ibn Marzuq al-Za^farani 519 H.
13. Al-Shaykh Abul-Walid Muhammad ibn Ahmad al-Maliki (datuk Ibn Rushd) 520 H.
14. Al-Muhaddith Abu Nasr Muhammad ibn Muhammad al-Fashani al-Marwazi 529 H.
15. Al-Faqih Abul-Husayn Muhammad ibn Muhammad al-Sahluki 530 H.
16. Al-Shaykh Abu ^Abdillah Muhammad ibn al-Fadl ibn Ahmad al-Farawi al-Naysaburi (Faqihul-Haram) 530 H.
17. Al-Qadi Muhammad ibn Muhammad al-Wasiti 530 H.
18. Al-Shaykh Abul-Futuh Muhammad ibn al-Fadl ibn Muhammad ibn al-Mu^tamid al-Isfarayni 533 H.
19. Al-Shaykh Abu Nasr Muhammad ibn Mahmud al-Sarakhsi 534 H.
20. Al-Shaykh Muhammad ibn al-Muntasir ibn Hafs al-Nuqani 535 H.
21. Al-Muhaddith Abu Hafs Najmud-Din ^Umar ibn Muhammad al-Nasafi 537 H.
22. Al-Shaykh Abu ^Abdillah Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Madini 537 H.
23. Al-Qadi Abu Bakr Muhammad ibn al-Qasim ibn al-Muzaffar al-Shahrawarzi 538 H.
24. Al-Shaykh Abuth-Thana' Mahmud ibn Zayd al-Hanafi 539 H.
25. Al-Faqih Abu Abdillah Muhammad ibn ^Ali ibn Muhran al-Jazari 540 H.
26. Al-Qadi Abu Hashim Muhammad ibn Muhammad ibn ^Abdullah al-Sawi 541 H.
27. Al-Shaykh al-Najib Muhammad ibn Muhammad ibn Abul-Qasim al-Bukhari 542 H.
28. Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-^Arabi al-Maliki al-Andalusi 543 H.
29. Al-Qadi ^Iyad ibn Musa al-Maliki (Marrakesh) 544 H.
30. Al-Shaykh Abus-Sa^adah Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad ibn al-Qasim 544 H.
31. Al-Qadi Abul-Fadl Muhammad ibn ^Umar ibn Yusuf ibn Muhammad al-Armawi 547 H.
32. Al-Shaykh Muhammad ibn ^Abdul-Karim al-Shahrastani 548 H.
33. Al-Hafiz Abu Tahir Muhammad ibn Muhammad ibn ^Abdullah al-Marwazi 548 H.
34. Al-Shaykh Abul-Fath Muhammad ibn al-Fadl ibn ^Ali al-Marishki (al-Fakhr) 549 H.
35. Al-Shaykh Abul-Hasan Muhammad ibn al-Mubarak al-Baghdadi (Ibn Abul-Baqa') 552 H.
36. Al-Shaykh Abul-Futuh Muhammad ibn Muhammad ibn ^Ali al-Hamadhani 555 H.
37. Al-Shaykh Abu ^Abdillah Muhammad ibn ^Umar ibn Muhammad ibn Muhammad al-Shashi 556 H.
38. Al-Ghawth al-Sayyid al-Shaykh Muhyid-Din Abu Muhammad ^Abdul-Qadir al-Jilani (atau al-Jaylani) ibn Abi Salih Musa ibn Abi ^Abdillah ibn Yahya al-Zahid ibn Muhammad ibn Dawud ibn Musa ibn ^Abdullah ibn Musa al-Jun ibn ^Abdullah al-Muhd ibn al-Hasan al-Muthna ibn Amirul-Mu'min ^Ali ibn Abi Talib 471 - 561 H.
39. Al-Faqih Abu Mansur Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Barawi 567 H.
40. Al-Shaykh Sirajud-Din ^Ali ibn ^Uthman al-Awshi al-Hanafi 569 H.
41. Al-Hafiz Abul-Qasim ^Ali ibn al-Hasan ibn Hibatullah al-Dimashqi (Ibn ^Asakir) 571 H.
42. Al-Imam al-Sayyid Ahmad al-Rifa^i ibn al-Sultan ^Ali Abul-Hasan ibn Yahya al-Maghribi ibn al-Thabit ibn al-Hazim ibn Ahmad ibn ^Ali ibn Abul-Mukarim Rifa^ah al-Hasan al-Makki ibn al-Mahdi ibn Muhammad Abul-Qasim ibn al-Hasan ibn al-Husayn Ahmad ibn Musa al-Thani ibn al-Imam Ibrahim al-Murtada ibn al-Imam Musa al-Kazim ibn al-Imam Ja^far al-Sadiq ibn al-Imam Muhammad al-Baqir ibn al-Imam Zaynul-^Abidin ^Ali ibn al-Shahid al-Husayn ibn al-Imam ^Ali ibn Abi Talib 578 H.
43. Al-Faqih Abu Shuja^ Muhammad ibn Munjah ibn ^Abdullah 581 H.
44. Al-Hafiz Abu Musa Muhammad ibn ^Umar ibn Ahmad al-Madini 581 H.
45. Al-Shaykh Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn ^Abdullah al-Shahrazuri al-Mawsuli 586 H.
46. Al-Nasir Salahud-Din al-Ayyubi 532 - 589 H.
47. Al-Shaykh Abul-Fath Muhammad Ibn Mahmud At-Tusi 590 A.H.
48. Al-Qadi Abu Shuja^ Ahmad ibn al-Husayn al-Asfahani 593 H.
49. Al-Hafiz al-Mufassir Abul-Faraj ^Abdur-Rahman ibn al-Jawzi (Baghdad) 597 H.
50. Al-Shaykh Muhammad ibn ^Ali ibn Muhammad al-^Uthmani (Ibnuz-Zaki) 598 H.
51. Al-^Imad al-Shaykh Muhammad ibn Muhammad ibn Hamid al-Asbahani (Ibn Akhil-^Aziz) 598 H.
52. Al-Shaykh Tajud-Din Muhammad ibn Hibatullah al-Makki al-Misri 599 H.

Ulama Kurun Ketujuh Hijrah
1. Al-Shaykh al-Mubarak ibn Muhammad (Ibnul-Athir) 606 H.
2. Al-Mufassir al-Mutakallim Abu ^Abdillah Muhammad Fakhrud-Din al-Razi 606 H.
3. Al-Shaykh Fakhrud-Din ibn ^Asakir 620 H.
4. Al-Shaykh Isma^il ibn Ibrahim al-Shaybani al-Hanafi 629 H.
5. Al-Mutakallim Sayfud-Din al-Amidi 631 H.
6. Al-Shaykh ^Umar al-Suhrawardi 632 H.
7. Al-Shaykh ^Abdul-Khattab ibn Dihya 633 H.
8. Al-Shaykh Jamalud-Din Mahmud ibn Ahmad al-Hasiri al-Hanafi 636 H.
9. Al-Shaykh Jamalud-Din Abu ^Amr ^Uthman ibn ^Umar al-Maliki (Ibnul-Hajib) 646 H.
10. Al-Shaykh Najmud-Din Mankubaras 652 H.
11. Al-Shaykh Abu Shama 655 H.
12. Al-Shaykh ^Abdul-^Azim al-Mundhuri (Mesir) 656 H.
13. Al-Imam al-^Izz ibn ^Abdus-Salam 660 H.
14. Al-Shaykh Muhammad ibn Ahmad al-Qurashi al-Hashimi 669 H.
15. Al-Mufassir Muhammad ibn Ahmad al-Ansari al-Qurtubi al-Maliki 671 H.
16. Al-Shaykh Diya'ud-Din Abul-^Abbas Ahmad ibn Muhammad al-Qurtubi 672 H.
17. Al-Shaykh Ahmad al-Badawi (Tanta, Mesir) 675 H.
18. Al-Hafiz Abu Zakariyya Yahya Ibn Sharif al-Nawawi (Damsyik) 676 H.
19. Al-Shaykh Zakariyya ibn Muhammad al-Ansari al-Qazwini 682 H.
20. Al-Usuli al-Shaykh Ahmad ibn Idris al-Qarafi al-Maliki 684 H.
21. Al-Qadi ^Abdullah al-Badawi (Shiraz) 685 H.
22. Al-Shaykh al-Baydawi 685 H.
23. Al-Shaykh Zaynud-Din ^Ali ibn Muhammad ibn Mansur (Ibnul-Munayyir) 695 H.
24. Al-Shaykh Muhammad al-Busiri 695 H.
25. Al-Shaykh al-Salih ^Abdullah ibn Sa^d (Ibn Abi Jamrah) 699 H.

Ulama Kurun Kelapan Hijrah
1. Al-Hafiz al-Mujtahid Taqiyyud-Din Abul-Fath Muhammad ibn ^Ali ibn Wahb al-Qushayri (Ibn Daqiqil-^Id) 702 H.
2. Al-Mutakallim Ahmad ibn ^Ata'ullah al-Iskandari al-Shadhili 709 H.
3. Al-Mufassir ^Abdullah ibn Ahmad al-Nasafi 710 H.
4. Al-Lughawi Muhammad ibn Mukarram al-Ifriqi al-Misri (Ibn Manzur) 711 H.
5. Al-Muhaddith ^Ali ibn Muhammad al-Baji al-Shafi^i 714 H.
6. Al-Qadi Safiyyud-Din al-Hindi 715 H.
7. Al-Shaykh Sharafud-Din Abun-Nur Yunus ibn Ahmad ibn Salah al-Qalqashindi 715 H.
8. Al-Qadi Sirajud-Din Yunus ibn ‘Abdul-Majid ibn ^Ali ibn Dawud al-Arminti 715 H.
9. Al-Faqih Muhammad ibn ^Umar ibn Makki (Ibnul-Murahhal) 716 H.
10. Al-Faqih Fakhrud-Din ibn al-Mu^allim al-Qurashi 725 H.
11. Al-Qadi Kamalud-Din al-Zamalkani 727 H.
12. Al-Qadi Jamalud-Din Ahmad ibn Ibrahim ibn Yusuf al-Dibaji (al-Manfaluti) 730 H.
13. Al-Qadi Badrud-Din Muhammad ibn Ibrahim (Ibn Jama^ah) 733 H.
14. Al-Shaykh Shihabud-Din Ahmad ibn Yahya ibn Isma^il al-Kilabi al-Halabi (Ibn Jahbal) 733 H.
15. Al-Shaykh ^Umar ibn Abul-Yaman al-Lakhmi al-Fakihi al-Maliki 734 H.
16. Al-Shaykh Abu ^Abdillah Muhammad ibn Muhammad al-^Abdari (Ibnul-Hajj al-Maghribi al-Maliki) 737 H.
17. Al-Mufassir ^Ali ibn Muhammad al-Khazin 741 H.
18. Al-Malik al-Nasir Muhammad ibn Qalawun 741 H.
19. Al-Hafiz Jalalud-Din Abul-Hajjaj Yusuf ibn al-Zaki ^Abdur-Rahman ibn Yusuf al-Dimashqi al-Mizzi 742 H.
20. Al-Shaykh Husayn ibn Muhammad al-Tibi 743 H.
21. Al-Shaykh ^Isa Abur-Rawh al-Zawawi 743 H.
22. Al-Shaykh Ahmad ibn ^Uthman al-Jawjazani al-Hanafi 744 H.
23. Al-Mufassir Muhammad ibn Yusuf (Abu Hayyan al-Andalusi) 745 H.
24. Al-Shaykh Fakhrud-Din Ahmad ibn al-Hasan al-Jarabardi 746 H.
25. Al-Hafiz al-Dhahabi 748 H.
26. Al-Qadi Muhammad al-Sa^di al-Misri al-Akhinna'i 750 H.
27. Al-Mujtahid al-Mutlaq Abul-Hasan ^Ali Taqiyyud-Din al-Subki 756 H.
28. Al-Imam ^Adadud-Din ^Abdur-Rahman al-Iji 756 H.
29. Al-Hafiz Salahud-Din Abu Sa^id Khalil al-^Ala'i 761 H.
30. Al-Shaykh Ahmad ibn al-Husayn ibn ^Ali al-Husayni al-Anji 765 H.
31. Al-Shaykh Muhammad ibn Isma‘il ibn Muhammad Badr al-Rashid al-Hanafi 768 H.
32. Al-Shaykh ^Abdullah ibn As^ad al-Yafi^ al-Yamani 768 H.
33. Al-Shaykh Tajud-Din Abu Nasr ^Abdul-Wahhab ibn ^Ali al-Subki 771 H.
34. Al-Faqih Ibn Batutah 779 H.
35. Al-Shaykh Muhammad ibn Yusuf al-Baghdadi al-Karmani 786 H.
36. Al-Shaykh Abu Ishaq Ibrahim ibn Musa al-Shatibi al-Andalusi 790 H.
37. Al-Shaykh Mas^ud ibn ^Umar al-Taftazani 791 H.
38. Al-Imam Muhammad al-Zarkashi 794 H.
39. Al-Shaykh Ibn Rajab al-Hanbali (Damsyik) 795 H.
40. Al-Shaykh Burhanud-Din Ibrahim al-Maliki 799 H.

Ulama Kurun Kesembilan Hijrah
1. Shaykh Ifriqiya Abu ^Abdullah ibn ^Arafah al-Tunisi al-Maliki 803 H.
2. Al-Mujtahid ^Alimul-Ard Sirajud-Din ^Umar al-Bulqini al-Shafi^i 808 H.
3. Al-Lughawi Majdud-Din Muhammad ibn Ya^qub al-Fayruzabadi 817 H.
4. Al-Hafiz Waliyyud-Din Abu Zur^ah Ahmad ibn ^Abdur-Rahim al-^Iraqi 826 H.
5. Al-Faqih Abu Bakr Taqiyyud-Din al-Husni al-Shafi^i 829 H.
6. Al-^Allamah ^Ala'ud-Din al-Bukhari al-Hanafi 841 H.
7. Al-Faqih Ibn al-Qadi Shuhbah al-Shafi^i 851 H.
8. Al-Hafiz Ahmad ibn Hajar al-^Asqalani 852 H.
9. Al-Shaykh Badrud-Din Mahmud ibn Ahmad al-^Ayni al-Hanafi 855 H.
10. Al-Shaykh Jalalud-Din Muhammad ibn Ahmad al-Mahalli 864 H.
11. Al-Shaykh Muhammad ibn Muhammad al-Hanafi (Ibn Amirul-Hajj) 879 H.
12. Al-Shaykh Burhanud-Din Ibrahim ibn ^Umar al-Baqa‘i al-Shafi^i 885 H.
13. Al-Shaykh Abu ^Abdillah Muhammad ibn Yusuf al-Sunusi 895 H.
14. Al-Shaykh Ahmad Zarruq al-Fasi al-Makki 899 H.

Ulama Kurun Kesepuluh Hijrah
1. Al-Qadi Mustafa ibn Muhammad al-Hanafi al-Rumi 901 H.
2. Al-Hafiz Muhammad ibn ^Abdur-Rahman al-Sakhawi 902 H.
3. Al-Hafiz al-Mujtahid Jalalud-Din ^Abdur-Rahman ibn Abu Bakr al-Suyuti 911 H.
4. Al-Shaykh Abul-^Abbas Shihabud-Din Ahmad ibn Muhammad al-Qastalani al-Misri 923 H.
5. Al-Qadi al-Shaykh Zakariya al-Ansari al-Shafi^i 926 H.
6. Al-Shaykh Jalalud-Din al-Dawwani 928 H.
7. Al-Shaykh Abu ^Ali Muhammad ibn ^Ali ibn ^Abdur-Rahman al-Dimashqi (Ibn ^Iraq al-Kinani) 933 H.
8. Al-Hafiz Muhammad ibn ^Ali al-Hanafi (Ibn Tulun) 953 H.
9. Al-Shaykh al-Sha^rani al-Misri 973 H.
10. Al-Shaykh Shihabud-Din Ahmad ibn Muhammad (Ibn Hajar al-Haytami) (Mekah) 907 - 974 H.
11. Al-Shaykh Muhammad al-Khatib al-Misri 977 H.
12. Al-Shaykh Ahmad ibn Muhammad al-Witri 980 H.

Ulama Kurun Kesebelas Hijrah
1. Al-Shaykh Shamsud-Din al-Ramli 1004 H.
2. Al-Shaykh Mulla ^Ali al-Qari 1014 H.
3. Al-Shaykh Mansur ibn Yunus al-Buhuti 1015 H.
4. Al-Shaykh ^Abdur-Ra'uf al-Mannawi al-Shafi^i 1029 H.
5. Al-Shaykh Burhanud-Din Ibrahim ibn Ibrahim ibn Hasan al-Laqqani al-Misri al-Maliki 1041 H.
6. Al-Shaykh Ahmad ibn Muhammad al-Maqqari al-Tillimsani al-Maliki 1041 H.
7. Al-Muhaddith Muhammad ibn ^Ali ibn ^Allan al-Siddiqi al-Shafi^i 1057 H.
8. Al-Shaykh ^Abdus-Salam ibn Ibrahim al-Laqqani al-Misri al-Maliki 1078 H.
9. Al-^Allamah Kamalud-Din al-Bayyadi al-Hanafi 1098 H.

Ulama Kurun Keduabelas Hijrah
1. Al-Shaykh Muhammad ibn ^Abdul-Baqi al-Zurqani al-Maliki 1122 H.
2. Al-Qutb Mawlana Sayyidul-Awliya' al-Shaykh al-Habib ^Abdullah ibn ^Alawi al-Haddad al-Hadrami al-Husayni al-Shafi^i 1132 H.
3. Al-Shaykh Muhammad ibn ^Abdul-Hadi al-Sindi al-Hanafi 1138 H.
4. Al-Shaykh ^Abdul-Ghani al-Nabulusi al-Dimashqi al-Hanafi 1143 H.
5. Al-Shaykh Isma^il ibn Muhammad al-^Ajluni 1087 - 1162 H.
6. Al-Musnid al-Muhaddith al-Shaykh Ahmad Waliyullah al-Dahlawi al-Hanafi 1176 H.

Ulama Kurun Ketigabelas Hijrah
1. Al-Shaykh Abul-Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir al-Maliki al-Misri 1201 H.
2. Al-Hafiz al-Sayyid Muhammad Murtada al-Zabidi al-Hanafi 1205 H.
3. Al-Mufti Muhammad Khalil al-Muradi 1206 H.
4. Al-^Allamah Muhammad ^Arafah al-Dusuqi 1230 H.
5. Mawlana Khalid ibn Ahmad al-Naqshabandi 1242 H.
6. Al-Faqih Muhammad Amin ibn ^Umar al-Hanafi (Ibn ^Abidin) 1252 H.
7. Al-Muhaddith ^Abdul-Latif FathuLlah al-Hanafi 1260 H.
8. Al-Shaykh Muhammad ^Uthman al-Mayraghani al-Makki al-Hanafi 1268 H.
9. Al-Muhaddith Muhammad ibn Darwish al-Hut al-Husayni al-Bayruti 1276 H.
10. Al-Shaykh Ibrahim al-Bayjuri al-Shafi^i 1277 H.
11. Al-Shakh Ahmad Marzuqi al-Maliki al-Makki [masih hidup pada] 1281 H.
12. Al-Shaykh Baha'ud-Din Muhammad Mahdi ibn ^Ali al-Sayyadi al-Husayni (al-Rawwas) 1287 H.
13. Al-Shaykh ^Umar ibn Muhammad al-Ansi al-Bayruti 1293 H.
14. Al-Shaykh ^Abdul-Ghani al-Ghanimi al-Maydani al-Hanafi 1298 H.
15. Al-Mutakallim ^Abdullah ibn ^Abdur-Rahman al-Dahlabi al-Hanafi [masih hidup pada] 1299 H.
16. Al-Shaykh Muhammad ^Ulaysh al-Maliki 1299 H.

Ulama Kurun Keempatbelas Hijrah
1. Mufti al-Shafi^iyyah fi Makkah al-Shaykh al-Sayyid Ahmad ibn Zayni Dahlan 1304 H.
2. Al-Muhaddith al-Shaykh Muhammad al-Qawuqji al-Tarabulusi al-Hanafi 1305 H.
3. Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani al-Shafi^i 1316 H.
4. Al-Shaykh Mahfuz ibn al-Tarmasi al-Indunisi 1338 H.
5. Al-Mutakallim ^Abdul-^Aziz ibn ^Abdur-Rahman al-Sakandari 1317 H.
6. Al-Shaykh ^Abdul-Basit al-Fakhuri 1323 H.
7. Al-Shaykh Husayn ibn Muhammad al-Jisr al-Tarabulusi 1327 H.
8. Al-Shaykh Rajib ibn Muhammad Jamalud-Din al-Bayruti 1328 H.
9. Al-Shaykh Muhammad Abul-Huda al-Sayyadi 1328 H.
10. Al-Shaykh Isma^il al-Rumi al-Hanafi 1330 H.
11. Al-Shaykh Salim al-Bishri al-Misri al-Azhari 1335 H.
12. Al-Shaykh Ahmad ibn Muhammad ibn HabibuLlah Bamba al-Baki al-Maliki (Ahmadu Bamba) 1345 H.
13. Al-Shaykh ^Abdul-Majid al-Sharnubi al-Azhari 1348 H.
14. Al-Mufti Mustafa ibn Ahmad al-Shatti al-Hanbali al-Dimashqi 1348 H.
15. Al-Shaykh Yusuf al-Nabahani al-Bayruti 1350 H.
16. Al-Shaykh Mustafa Naja al-Shafi^i 1351 H.
17. Al-Muhaddith Anwar Shah al-Kashmiri al-Hanafi 1352 H.
18. Al-Shaykh ^Abdul-Majid al-Maghribi al-Tarabulusi 1352 H.
19. Al-Shaykh Mahmud ibn Muhammad Khattab al-Subki al-Azhari 1352 H.
20. Al-Shaykh Muhammad al-Khadar al-Shanqiti 1353 H.
21. Al-Shaykh ^Abdul-Fattah al-Tarabulusi 1354 H.
22. Al-Mufti Muhammad Bakhit al-Muti^i al-Misri 1354 H.
23. Al-Shaykh Muhammad Hasanayn Makhluf 1355 H.
24. Al-Shaykh Muhammad ibn Ibrahim al-Husayni al-Tarabulusi 1362 H.
25. Al-^Allamah al-Shaykh Yusuf al-Dijwi al-Azhari al-Misri 1367 A.H.
26. Al-Shaykh Muhammad ^Abdul-^Azim al-Zurqani 1367 H.
27. Al-^Allamah al-Shaykh Muhammad Zahid ibn Hasan al-Kawthari al-Hanafi 1371 H.
28. Al-Shaykh Mustafa Wahib al-Barudi 1372 H.
29. Al-Shaykh Salamah al-Qada^i al-Shafi^i 1376 H.
30. Al-Hafiz al-Mujtahid Ahmad ibn Muhammad ibn al-Siddiq al-Ghumari al-Maghribi 1380 H.
31. Al-Musnid Abul-Ashbal al-Habib Salim ibn Jundan al-Indunisi [masih hidup pada] 1383 H.
32. Al-Muhaddith al-Shaykh Muhammad ^Arabi al-Tabbani al-Maliki 1390 H.
33. Al-Shaykh Abu Hamid ibn Marzuq al-Makki 1390 H.
34. Al-Shaykh Muhammad al-Tahir ibn ^Ashur al-Maliki 1393 H.
35. Al-Shaykh ^Abdul-Karim al-Rifa^i al-Dimashqi 1393 H.

Ulama Kurun Kelimabelas Hijrah
1. Al-Muhaddith ^Abdullah ibn Muhammad ibn al-Siddiq al-Ghumari al-Maghribi 1413 H.
2. Musnidud-Dunya Shaykhul-Hadith Muhammad Yasin ibn ^Isa al-Fadani 1410 H.
3. Al-Hafiz al-Waliyyus-Salih al-Zahid al-Shaykh ^Abdullah ibn Muhammad al-Harari al-Shaybi 1429 H
4. Al-Shaykh Tuan Guru Hj. Abdullah bin Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Lubuk Tapah al-Kalantani (1429 H)
5. Al-Shaykh Muhammad Nurud-Din Marbu al-Banjari al-Makki.

Ya Allah, jadikan hidupku sebagaimana kehidupan para ulama, amin ya Rabbal-^alamin bi-jah Sayyidina Muhammadinil-amin sayyidil-^ulama'il-^amilin...

HAJI ABU BAKAR ALIM ULAMA MUAR

Abu Bakar Muar - Benteng pertahanan kaum tua
NAMA lengkapnya ialah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 Hijrah/1938 Masihi. Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu, iaitu ketika usianya enam tahun (1881 M/1299 H.) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915 Masihi.

GURU-GURUNYA:
Semua ulama yang telah disebut dalam riwayat Syeikh Abdullah Fahim dan Abdul Lathif Melaka, adalah juga guru kepada Abu Bakar. Ulama yang paling rapat dengannya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.

Kepada ulama yang berasal dari Lingga, Riau itu beliau mendalami hadis Bukhari. Sementara Ilmu Qiraat dipelajarinya dan menerima ijazah daripada Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu.

Seperti Abdullah Fahim, beliau juga mendalami Ilmu Falak dan menerima ijazah daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Selain itu ada dua orang ulama, gurunya yang banyak disebut dalam tulisannya, iaitu Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor dan Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi.

AKTIVITI:
Abu Bakar al-Muari adalah Qadi Muar dan pernah menjadi Mufti Johor, selama seminggu sahaja. Bersama-sama Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad, Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya, Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, mereka menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan' (Bandar Maharani Muar, Mac 1925, dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah Muar 1925).

Abu Bakar al-Muari adalah pengasas Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah di Muar. Beliau bukan hanya mendirikan madrasah, tetapi keterlibatannya di Bandar Muar meliputi keseluruhan aspek pembangunan di Muar, terutama sekali yang melibatkan urusan keIslaman.

MURID-MURIDNYA:
Murid-muridnya sangat ramai, bukan hanya murid di madrasah tetapi termasuk murid-murid yang menadah kitab di masjid, surau dan di rumahnya, sehingga beliau dikenali dengan nama `Haji Abu Bakar Alim'.

Di antara tokoh yang pernah mendapat pendidikan di Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah ialah saudara sepupu beliau yang bernama Tan Sri Mohamed Noah. Setelah Mohamed Noah menerima pendidikan di madrasah tersebut, Abu Bakar lalu menghantarnya belajar ke Timur Tengah. Mohamed Noah adalah ayah mertua kepada allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua).

Murid Abu Bakar yang lain ialah Ustaz Muhammad Yasin. Beliaulah yang meneruskan perjuangan pendidikan madrasah yang diasaskan oleh gurunya itu. Muhammad Yasin adalah ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin (sekarang Menteri Pertanian Malaysia).

Murid Abu Bakar yang lain ialah Datuk Haji Mohd. Noor. Di antara anak beliau ialah Datuk Haji Juma'at, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, (sekarang Bendahari) Persatuan Sejarah Malaysia. Menurut keterangan Mohammad, anak kepada Abu Bakar Muar, kedua-dua tokoh di atas sangat memuji dan mengenang jasa orang tuanya (Abu Bakar).

Mohamed Noah pernah berkata, "Kalaulah aku tidak dididik oleh sepupuku, Abu Bakar, tiadalah aku dapat ke Timur Tengah. Barangkali aku pun hidup dalam kejahilan tiada kenal hukum-hakam Islam ... ".

Muhammad Yasin pula pernah berkata, "Ketika aku akan belajar ilmu kemegahan dunia di Sumatera, setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu dinasihatinya supaya belajar kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar nasihat beliau, mungkin aku menjadi seorang yang jahat.''

KARYA-KARYANYA:
Abu Bakar al-Muari menghasilkan karangan dalam jumlah yang banyak. Ia ditulis dalam bahasa Arab dan Melayu. Oleh sebab ruangan yang disediakan sangat terbatas, semua karangannya tidak dapat disenaraikan di ruangan ini.

Keterangan ringkas hanyalah sebagai berikut, bahawa beberapa karyanya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Azhari. Walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah sahabatnya yang sama-sama belajar di Mekah, namun pendapat kedua-duanya adalah berbeza.

Abu Bakar merupakan benteng pertahanan Kaum Tua, sedangkan Syeikh Tahir Jalaluddin adalah pelopor pergerakan Kaum Muda. Abu Bakar juga mengarang risalah menolak pendapat Hasan Bandung. Sebuah lagi karyanya di dalam bahasa Arab juga menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir, tokoh reformis yang sangat terkenal. Karya-karya Abu Bakar Muar yang bercorak polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin yang telah ditemui ialah Taman Persuraian, ditulis pada 6 Ramadan 1346 Hijrah/1927 Masihi di Muar, Bandar Maharani.

Kandungannya menyatakan tentang sunat sembahyang ba'diyah Jumaat dan qabliyahnya. Ia membatalkan perkataan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Minankabawi, guru Madrasah Al-Haji Taib Parit Jamil Muar yang mengatakan sembahyang qabliyah itu bidaah. Dan menyatakan sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, rumuz-rumuz ulama fikah, tarikh Imam ar-Rafi'ie, Imam an-Nawawi dan Ibnu Hajar al-Haitami. Dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah, Muar (tanpa tarikh). Dicetak dengan perbelanjaan ahli-ahli al-khair Johor, Muar, Segamat, Kota Tinggi dan Kukup.

Salah satu sebab penyusunan karya ini ialah pertanyaan Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, guru agama Bandar Maharani, 14 Syaaban 1346 Hijrah. Surat dilampirkan pada halaman awal dan setelah pada halaman akhir dilampirkan surat Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, tarikh, Bandar Maharani, 18 Zulhijjah 1346 Hijrah yang menyambut baik kitab ini.

Judul selanjutnya ialah Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minankabawi. Diselesaikan 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Muar, 1351 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sebagai tanggapan atas karya yang berjudul Huraian Yang Membakar.

Di dalam Taman Persuraian Haji Bakar, yang dipersoalkan ialah mengenai sembahyang qabliyah Jumaat. Ia merupakan kelanjutan judul Taman Persuraian. Polemik dengan Hasan Bandung pula, Abu Bakar Muar menyusun risalah berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Diselesaikan 20 April 1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menjawab dan membatalkan fatwa pengarang Al-Fatwa Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh, dan mulut anjing pun belum tentu najisnya. Salah satu sebab disusun karangan ini atas permintaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar yang ditandatangani oleh ketuanya, Abdus Syukur bin Ismail bertarikh 2 April 1932. Surat tersebut dicetak pada halaman 1-2.

Mengenai sanggahan pendapat Sayid Rasyid Ridha selain dalam bahasa Arab, terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu yang diberi judul Sanggamara Dalam Perkara Menolak dan Membatalkan Perkataan Sayid Muhammad Rasyid Ridha Yang Berkata Dengan Niat Ushalli Itu Bid'ah. Sama ada yang dalam bahasa Arab atau pun yang dalam bahasa Melayu hingga kini belum ditemui.

Cogan Perikatan. Diselesaikan pada 3 Zulkaedah 1346 Hijrah/1928 Masihi, dalam Muar, Bandar Maharani, Johor. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 15 Syawal 1346 Hijrah/1928 Masihi. Kandungan risalah ini juga merupakan polemik kerana mempertahankan pendapat golongan Mazhab Syafie daripada serangan Kaum Muda yang menolak mengucapkan lafaz `Ushalli'.

Karya Abu Bakar Muar selain yang bercorak polemik, dilengkapi pula dengan pelbagai disiplin ilmu, di antaranya tentang Ilmu Falak, ditulis dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul, diselesaikan pada 28 Rabiuakhir 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah. Kandungan ilmu falakiyah merupakan syarah nazam al-Fadhil Abil Hasan Ali bin Abi ar-Rijal al-Katib al-Qairuani.

Ilmu Wafaq, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul. Diselesaikan pada 1 Zulhijjah 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah. Tentang faraid (cara-cara membahagi pusaka) ditulis kitab berjudul Nihayatut Taqrib fi Ma'rifatil Irtsi wat Ta'shib, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1324 Hijrah/1906 Masihi di Mekah.

Tentang kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., disusun risalah bernama Peringatan. Diselesaikan pada 2 Rabiulawal 1338 Hijrah/1919 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan kalimah-kalimah yang ada di dalam kitab Kisah Maulid an-Nabi bagi karangan Sayid Ja'far al-Barzanji yang harus diubah-ubahkan bacaannya, cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Bandar Maharani, Muar, 1938.

Juga tentang kelahiran Nabi s.a.w. beliau susun Mastika Ajaib. Diselesaikan pada 9 Safar 1350 Hijrah/26 Jun 1931 Masihi, dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan hukum dan kelebihan membaca Maulid an-Nabi s.a.w., cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Parit Jamil, Muar, 1350 Hijrah/1931 Masihi. Sebab disusun risalah ini memenuhi pertanyaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar.

Tentang tajwid, Abu Bakar Muar menyusun risalah Pertinjauan, Penggal Pertama. Diselesaikan pada 1 Syaaban 1342 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1342 Hijrah/1924 Masihi. Pada halaman pertama sesudah halaman kulit terdapat salinan ijazah daripada gurunya, Syeikh Abdullah bin Muhammad Qasim Senggora yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 25 Zulhijjah 1334 Hijrah di Mekah.

Hikayat Qadhi Dengan Harami, diselesaikan pada 12 Rabiulawal 1343 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1343 Hijrah/1924 Masihi. Kandungannya merupakan sastera Islam, menceritakan kisah seorang qadi pada zaman pemerintahan Harun ar-Rasyid

Abu Bakar juga menyusun buku-buku pengetahuan lain, seperti buku mengenai masakan yang terkumpul dalam judul Jangka Rampaian yang terdiri daripada tiga jilid. Saya simpulkan saja bahawa Abu Bakar Muar telah melakukan penulisan sejak tahun 1323 Hijrah/1905 Masihi hingga 18 Muharam 1357 Hijrah/20 Mac 1938 Masihi. Judul terakhir karyanya ialah Jadwal Tarikh Antara Nabi Adam Dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dan Lainnya.

Template by:
Free Blog Templates